Showing posts with label mardhatillah. Show all posts
Showing posts with label mardhatillah. Show all posts

Wednesday, May 21, 2008

Pilihlah aku!


Apakah ini suatu anugerah pada ku?
Atau sekadar ujian untuk menguji iman ku?
Apakah ini satu destinasi akhir?
Atau satu perhentian sementara?
Semoga Kau tunjukkan aku jalan yang benar...

Tanpa kasih-sayangMu,
Tanpa belas dan rahmatMu,
Tak mungkin aku di sini
Tak mungkin aku masih di jalan ini...

Berilah aku kekuatan,
Ketabahan hati dan kesabaran yang luar biasa
Agar aku tidak tercicir diantara parajurit yang berbaris itu
Agar aku sebahagian dari cerucuk bangunan itu
Yang saling mengukuhkan antara satu sama lain
Semoga aku ada fungsinya
Walaupun sekadar pemijak kaki...

Ya Allah,
Pilihlah aku!
Moga Kau tempatkan aku dikalangan hamba-hambaMu terpilih
Moga aku akan berada di sana
Di tempat dimana tiada lagi penat dan lelah
Tiada lagi bising dan hiruk pikuk
Yang ada hanyalah ketenangan dan kenikmatan...ameen

Saturday, April 26, 2008

Mulakan langkah sekarang


Sudah tentu sebagai seorang yang bernama manusia tidak dapat lari dari melakukan kesilapan. Apabila terlintas untuk membetulkan kesilapan dan melakukan perbaikan, janganlah ditunggu-tunggu lagi dan berfikir panjang lagi. Teruskan langkah dan jangan menoleh lagi.

Aku bukanlah seorang yang pandai mengolah ayat, walaupun tidak dinafikan suatu waktu dulu aku boleh dikategorikan sebagai 'minah jiwang'. Pernah hantar cerpen kat majalah, hantar puisi dan tak ketinggalan di alam siber. Dulu, aku biarkan saja karangan-karangan merapu aku itu sebagai kenangan. Tapi oleh kerana aku tidak mahu membawa 'saham' di akhirat kelak, aku terus buang kesemua nukilan ku itu. Memang takde manfaatpun. Hanya mengajak orang berkhayal dan hanyut adala...Apabila aku membaca sepintas lalu, aku berkata, "Eh nie ke aku dulu? Iskk sungguh tak tahu malu..." Entah macamana aku boleh survive dalam dunia yang sebegitu aku pun tak tahu tetapi aku sudah melaluinya lebih lama dari alam tarbiyah ku ini...


Asyik kalau dilayan

Bukan tidak asyik, malah dunia yang penuh dengan hiburan dan persekitaran yang sosial tentu saja menjadikan kita leka dengan dunia. Aku yakin semua yang pernah mengalaminya dan sedang mengalaminya pasti mempunyai kesukaran untuk meninggalkan semua itu dalam masa yang singkat, lebih-lebih lagi sekiranya perubahan itu bukan dengan rela hati tetapi atas desakan luaran.


Fikirkan boleh

Percayalah, jika orang lain mampu melakukannya mengapa tidak anda yang masih menunggu-nunggu dengan menggunakan alasan, satu masa nanti..atau bila sampai seru...atau dah tua nanti...Kitapun tak tahu sempat atau tidak kita merasai zaman tua kita..


Jangan anggap remeh

Antara tips untuk konsisten dalam perubahan kita ialah dengan memekakkan telinga tetapi mengambil positif diatas sindiran, persoalan atau sebarang perli dari oranglain. Semua itu walau atas apa saja tujuan sama ada memang niat untuk membantutkan usaha kita atau sekadar usikan sahaja tetapi tetap memberi kesan terhadap kita untuk melakukan kebaikan. Walau sekecil manapun perubahan yang cuba kita lakukan, jangan mengganggap ia remeh pada pandangan Allah. Jangan anggap enteng terhadap iman kita.

Pernah je seorang kakak di pejabat berkata kepada aku sambil ketawa, "Hari tu akak mimpi kau berubah kembali kepada asal...". Aku senyum je. Tengah orang ramai lak tu. Tapi aku anggap kata-katanya sebagai motivasi.


Ikut keutamaan

Tetapi harus diingat kebaikan yang kita ingin lakukan perlulah mengikut keutamaan. Contohnya jika solat adalah perkara yang kita sendiri abaikan sebelum ini, kita hendaklah usaha untuk tidak meninggalkan solat lagi, kerana solat adalah perkara asas yang kita kena setelkan dulu. Soalan yang mula-mula akan ditanya di akhirat nanti. Kita harus menjadikan solat sebagai target pertama dan utama untuk kita perbaiki.


Jangan bertangguh

Bagi yang bekerja, sebelum balik dari kerja petang tu kita solat Asar dulu. Jangan berura-ura untuk solat di rumah. Kitapun tidak tahu sempat ke kita tiba di rumah sebelum Maghrib dan kitapun tak tahu apa yang akan berlaku di dalam perjalanan pulang dari pejabat. Jangan tangguh-tangguhkan solat dan merasa payah untuk solat di awal waktu. Disebabkan itulah ALlah meletakkan penghargaan dan ganjaran yang tinggi buat kaum lelaki yang konsisten solat berjemaah di masjid, kerana displin mereka dalam mendirikan ibadah solat. Mereka yang hatinya 'tergantung' di masjid merupakan antara 7 golongan yang akan mendapat naungan Allah di akhirat kelak, dimana tiada naungan pada waktu itu selain naungan Allah swt. (Hadis sahih)

Memang biasa jika kita lihat orang yang tidak pernah meninggalkan solat 5 waktu tetapi dalam waktu yang sama masih melakukan maksiat. Jangan melihat itu sebagai alasan untuk kita tidak mahu solat. Setiap amal yang kita lakukan itu pasti memberi kesan walaupun sedikit. Periksalah betul-betul disisi mana solat itu yang tidak sempurna, adakah niat kita sendiri yang tidak benar atau kita sendiri solat tanpa ilmu.

Apabila kita mendengar azan dan terdetik di hati untuk bersolat juga merupakan satu peningkatan iman dalam diri kita.



Zaman kegemilangan hanya sementara

Memang berat untuk meninggalkan alam yang sudah sebati dengan darah daging kita. Aku juga tidak terkecuali, lebih-lebih lagi zaman itu aku sedang dalam keadaan merasai hidup sebagai seorang yang popular dan dalam perhatian. Sempat beberapa kali merasa gelaran queen of the bla..bla..bla..dalam dua komuniti siber yang berbeza. Dapat kenal manusia yang pelbagai ragam dan latar belakang hidup. Tapi oleh kerana aku sudah bulatkan tekad, aku tinggalkan juga zaman itu dengan menyepikan diri disamping mencari kekuatan diri dalam mengenal Allah

Tapi sekarang, aku lebih suka menjadi orang-orang yang tidak dikenali apabila datang, dan tidak disedari apabila pergi...aku hanya mahukan perhatian Allah dan RasulNya...tapi layakkah aku? Imanpun hanyalah secebis, dibandingkan dengan rakan-rakan lain yang hebat-hebat belaka, apalagi nak dibandingkan dengan sahabiah Nabi, tak terkejar aku. Aku selalu merasa malu apabila berhadapan dengan komuniti masyarakat yang berkasih-sayang kerana ALlah ini. Maklumlah boleh dikatakan majoriti mereka pangkat adik-adik belaka, tapi aku gagahkan jua kerana aku mahukan pengislahan dalam diri.


Nak jadi insan bertaqwa

Aku hanya fikirkan, Allah hanya melihat kepada orang-orang yang bertaqwa, tanpa melihat latarbelakang orang itu sama ada kaya, miskin, bijak, dungu atau sebagainya. Itu sudah cukup menjadi booster buat aku teruskan langkah ini.

Satu perkara yang cukup mencabar apabila melakukan perubahan ini ialah apabila suasana sekeliling tidak membantu langsung untuk kita terus istiqamah. Pernah je waktu aku belajar part time dulu, kawan aku nie lah satu-satunya kawan perempuan yang aku ada, selalu gi kelas sesama, makan sesama, cuma solat je sendirian berhad. Waktu dia menyaksikan perubahan drastik ku, dia sendiri berkata pada aku, "Dah berubah la kau, bertambah baik kau, aku nie bila la.."

Secara fitrahnya memang manusia itu inginkan kebaikan tapi ia tidak akan datang bergolek tanpa usaha yang bersungguh-sungguh dan berterusan. Kawan aku itu tidak pernah pun aku melihat dia solat tetapi ada satu waktu tu dia tergerak nak ikut aku solat. Memang aku yang lemah iman kerana membiarkan saja dia solat untuk hari itu saja.


Selemah-lemah iman

Balik dari kelas, aku jugak yang menumpang kereta teman lelakinya sambil terpaksa akur dengan situasi tersebut. Tapi kini kami dah terputus hubungan walaupun aku pernah jua bertanya khabar. Sudah berkahwin dengan orang lain dan sudah punya anak. Semoga Allah memberi kesempatan untuknya melakukan perubahan ke arah kebaikan...itu doa aku. Aku tetap menyayanginya dari jauh kerana aku pernah bersama-sama dia berkongsi cerita, berkongsi ilmu..tapi adakah aku cukup sayang kepadanya hingga membiarkan saja dia terus-terusan dengan dunia yang telah aku tinggalkan itu?

Ada juga antara kawan ku yang asalnya seorang yang bertudung walaupun tidak sempurna menutup aurat. Dan aku turut menyaksikan perubahannya yang meninggalkan terus tudungnya itu. Ada yang berasalan untuk dapatkan client Cina dalam perniagaan dan sebagainya. Apa saja alasan mereka, aku hanya menjadi penonton...melihat saja kawan ku 'meninggalkan Islam' dengan mudah.


Di mana hendak mula?

Untuk permulaan bagi yang baru mendapat kejutan nur dari Allah, jangan terus biarkan diri dibelenggu dengan rasa dosa-dosa yang lepas. Mulakan dengan bertawbat dan beristighfar, disamping memulakan hari dengan penuh persangkaan baik kepada Allah.

Amalkan matsurat setiap pagi dan petang, usahakan solat sunat dhuha, istiqamah membaca al-quran sekurang-kurangnya seminggu 3 juz dan meningkat sedikit demi sedikit. Selain itu istighfar 100x sehari atau jika tak mampu seminggu 3 kali. Tahajud seminggu 3 kali dan meningkat sedikit demi sedikit. Insya Allah jika kita istiqamah buat sedikit demi sedikit kita akan perlahan-lahan merasai kemanisan melakukan ibadah tersebut.

Antara buku yang sesuai dibaca ialah Apa ertinya saya menganut Islam oleh Fathi Yakan.


Segalanya menjadi saksi

Debu-debu yang mengiringi setiap langkah kita jua akan menjadi bukti di akhirat kelak. Daki-daki atau bekas yang kita tinggalkan jua tidak terkecuali menjadi saksi. Sehingga pernah ku dengar pacat-pacat yang pernah menghisap darah kita jua akan ditanya untuk apa kita berada di situ, adakah mengikuti aktiviti kebaikan atau sebaliknya. Allah swt yang Maha Teliti akan menyoal kita sehingga tiada sekuman langsung yang tertinggal.

"Sehingga apabila mereka sampai ke neraka, pendengaran, penglihatan dan kulit mereka menjadi saksi terhadap apa yang telah mereka lakukan.

Dan mereka berkata kepada kulit mereka, "Mengapa kamu menjadi saksi terhadap kami?: (Kulit) mereka menjawab, "Yang menjadikan kami dapat berbicara adalah Allah, yang (juga) menjadikan segala sesuatu dapat berbicara, dan Dialah yang menciptakan kamu yang pertama kali dan hanya kepada-Nyalah kamu dikembalikan." (Fussilat :21)


Jadi adakah kita tak takut jika kita merasakan bersentuhan antara lelaki dan perempuan yang tidak halal itu sebagai biasa-biasa saja?


Rasailah kebersamaan Allah

Sesungguhnya segala pengharapan hanyalah kepada Allah. Mulakan langkah dari sekarang dan banyak-banyaklah memohon bantuan dari Allah agar dipermudahkan. Renung balik sejauhmana kita merasakan muraqabatullah atau kebersamaan Allah terhadap kita. Jika kita merasakan pengawasan Allah sentiasa ada 24jam, kita tidak akan sekali-kali berani untuk melakukan hatta satu maksiat sedikitpun.

Ibn Qayyim pernah berkata, kita tidak akan mampu mengubah sifat-sifat jahiliyah melainkan dengan ihsan Allah. Jika kita tidak merasakan hubungan, kebersamaan dan pengawasan Allah terhadap diri kita, masakan kita dapat meletakkan pengharapan untuk mendapat ihsan dari Allah.

'Abayah bin Rifa'ah r.a mengabarkan, bahawa ia bertemu dengan Abu 'Abbas ketika dia pergi ke Jum'at. Abu 'Abbas berkata kepadanya bahawa dia mendengar Nabi saw bersabda, "Siapa berdebu dikedua kakinya kerana berjalan di jalan ALlah, nescaya diharamkan Allah baginya api neraka." (Hadis sahih Bukhari)

p/s: Maaf penulisan ku yang tidak seberapa ini...

Wednesday, April 23, 2008

Berita-berita gembira

Berita gembira 1

Dapat ke Kursus kewangan Uzar di Kelana Jaya beberapa hari lepas. Alhamdulillah baru faham dengan jelas tetapi untuk menjelaskan kepada orang lain memang sedikit tak mahir. Harap maafla ya. Lebih baik ke blog Uzar sendiri untuk faham. Tak dinafikan memang pening kepala juga nak faham, maklumlah tak pakar dalam bidang nie. Tapi yang seronok tu dapat lagi buku Wang, Anda dan Islam versi baru, lebih tebal dari yang sebelum nie. Macam biasa ada autograf, sempat mintak tolong sorang adik tu amikkan...:)

Memang profesional sungguh pentadbiran dan pengurusan Masjid Nurul Yaqin kerana peserta diberikan tag nama dan juga sijil penyertaan, tempat duduk juga sungguh selesa dan berhawa dingin.

Duduk sebelah akak nie, bila dia tau aku mai dari Kedah dia terus tanya, "You ke yang dalam website Uzar yang citer datang dari Kedah gi kursus solat tu?" Erk, aku tak jawab ya atau tak sebab rasa macam tak patut aku mengatakan ya, sayalah orang itu. Tapi rasa-rasanya akak tu bole agak sendiri kut. Tapi tiap kali aku nak daftar je orang mesti ingat aku ni student padahal surirumah dan punya anak 2!


Berita gembira 2

Kelmarin setelah sekian lama berjaya juga aku dapatkan akaun Maybank Islamik atau wadi'ah, itupun terpaksa menggunakan helah. Bagi aku mudaratnya sedikit dibandingkan dengan mudarat di alam barzakh kelak. Memula tu buat kat Maybank Jalan Raja Laut, sekali sistem down pulak..dah ok sistem terlupa lak dulu buka akaun di Wangsa Maju...terus bergegas ke Maybank Wangsa Maju dan syukurlah dapat siapkan hari tu juga. Alhamdulillah...gembira sangat. Tapi sempat saudari bank tu tanya untuk apa dan bla..bla..bla.. Akupun explain nak bisnes dan dia tanya bisnes apa. Setelah aku terangkan dengan ringkas diapun tanya nama suami, tempat keja dan no. tel..mungkin disebabkan aku nie tak bekerja agaknya, nak kata studentpun bukan, kerja pun bukan...memula dia panggil aku adik pastu bila dia tanya student ke dan aku jawab bukan, kerja ke aku jawab bukan jugak..aku kata surirumah, automatik dia panggil aku akak...

Tak kisahla tu janji aku dah rasa selamat bila dah bertukar ke akaun Wadi'ah nie. Alhamdulillah siap mereka daftarkan maybank2u untuk aku gunakan nanti. Tapi kali nie mereka dah tak gunakan buku simpanan dah, terus gunakan kad atm je...

Syukurlah Allah telah memberi bantuan dan mempermudahkan urusan ku. Alhamdulillah...

Sebenarnya kebelakangan ni aku agak tak keruan sket. Istilahnya jiwa kaco sebab aku rasakan seperti cinta kepada Allah tu dah turun rankingnya..tengah setelkan masalah nie dan harap ianya tak berpanjangan dan untuk sementara waktu je. Aku yakin apa yang berlaku nie datang dari Allah, sebab aku tak pintapun jadi camni tapi aku anggap ia ujian dan untuk memperbaiki iman aku juga. Tapi muhasabah diri tu amat penting kerana kadang-kadang kita kata kita tak buat apa-apa sedangkan ada tindak tanduk kita yang terlepas pandang dan membawa kepada kemudaratan diri sendiri juga.

Dari Allah kita datang dan kepadaNya jua kita akan dikembalikan...

Friday, April 18, 2008

Hidup penuh perjuangan dan pengorbanan

"Sesungguhnya Kami jadikan manusia sentiasa dalam perjuangan yang sukar dan penat." (90:4)

Kenapa aku kena bersusah-payah dan berkorban untuk mendapatkan kemanisan iman? Baru aku tahu, fitrah manusia itu sendiri adalah dalam keadaan susah dan payah. Kita nak makan, kita perlu mencari rezeki, takkan ada makanan turun dari langit atau kita akan mendapatkan makanan di depan mata hanya melalui lintasan hati. Kita perlu keluar dan bekerja.

Penciptaan manusia itu sendiri adalah dalam keadaan yang penuh kesukaran. Sebaik sel pertama dari benih manusia menetap di dalam rahim, ia terus mula menghadapi perjuangan dan kesukaran untuk mendapatkan makanan dan suasana hidup yang sesuai dengan izin Allah. Ketika ia melalui proses kelahiran, si ibu akan bersusah payah mengumpul sekuat tenaga melahirkannya. Dari kecil dia dididik dengan penuh pengorbanan sang ibu, kelelahan dan pelbagai kerenah hingga anak itu dewasa.

"Wahai manusia, sesungguhnya engkau berjuang dengan penat lelah (dalam kehidupanmu) sehingga engkau kembali kepada Tuhanmu, maka waktu itu engkau akan menemui hasil usahamu." (84:6)

Orang-orang yang berjuang untuk mencari sesuap nasi begitu ramai di muka bumi ini. Lihat saja pendatang asing yang berhijrah ke negara ini, sanggup meredah segala macam kepayahan untuk apa? Mereka sanggup bergadai nyawa datang ke sini semata-mata mencari rezeki yang halal dan berkat. Tetapi kita pula bersenang lenang dan memilih pekerjaan sedangkan fitrah untuk memperolehi sesuap nasi itu tidak semudah menukar channel di t.v.

Ada yang berjuang untuk mendapatkan harta, pangkat, kedudukan dalam masyarakat, meraih perhatian manusia. Semua itukan memerlukan pengorbanan dan kelelahan. Penuh ancaman dan kesukaran. Orang-orang yang baru memulakan perniagaan, perlukan modal yang besar dan perlu berhadapan dengan risiko sekiranya perniagaan tersebut tidak berjaya. Bukankah kehidupan itu sendiri penuh dengan kesukaran, tetapi begitulah kita ini, cepat lupa diri bila dah berjaya lalu melupakan kesusahan yang lepas-lepas. Tak pun kita generasi yang sedang menikmati hasil susah payah orang-orang terdahulu.

Ada yang berjuang untuk jalan Allah dan ada juga yang berjuang untuk mencapai kepuasan nafsu. Sudah tentu kesukaran berjuang kerana nafsu berlainan dengan berjuang di jalan ALlah. Ada yang berjuang menuju ke syurga dan ada yang berjuang menuju ke neraka.

Hakikatnya perjuangan dan penderitaan itulah sifat kehidupan di dunia. Walau atas apa saja objektif atau motif perjuangan itu, ia tetap memerlukan kesusahan, penderitaan dan pengorbanan untuk memperolehinya.

Akhirnya orang-orang yang berjuang kerana mencari keredhaan Allah, mereka akan berehat di syurga dengan tiada lagi penat dan lelah. Mereka akan memperolehi janji Allah kepada mereka. Tetapi orang-orang yang berjuang hanya mencari keindahan dan kemewahan dunia, mereka akan bersedih dan menangisi nasib mereka dengan ditemani ulat-ulat, ular dan segala macam penyeksaan yang tidak tergambar dek akal fikiran, yang amat pedih azabnya.

Ukhuwwah imaniyah yang manis

Seorang ukhti sanggup datang dari Perlis menaiki motor ke Kedah semata-mata untuk memberi sekeping kad ucapan hari lahir. Terharunya. Kalau orang biasa mungkin akan mengatakan ukhti ni melakukan kerja yang tak masuk akal yang kebiasaannya dilakukan oleh mat romeo yang sedang mabuk asmara. Tetapi itulah dia ukhuwwah kerana Allah. Segalanya terasa ringan dan penuh kasih-sayang. Semoga ALlah membalas kasih-sayangnya dengan kasih-sayang Allah dan rahmatNya yang tidak pernah putus. Jazakillah ukhti kerana mengingati diri ini.

Umur bertambah lagi tetapi amal...

Terima kasih dan jazakumullah pada semua yang mengingati dengan menghantar ucapan melalui kad, sms dan telefon. Apa yang aku harapkan hanyalah sepotong doa agar aku beroleh keampunan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat serta dijauhkan dari azab api neraka dan azab kubur seperti apa yang dinyatakan oleh Baginda kepada Ummu Habibah r.a

"Dari 'Abdullah r.a katanya: "Pada suatu waktu Ummu Habibah, isteri Nabi saw berdoa: "Wahai Allah! Panjangkanlah usiaku bersama-sama dengan suami ku Rasulullah saw, dan dengan bapaku Abu Sufyan dan dengan saudara ku Mu'awiyah." Maka Nabi saw, "Engkau memohon ajal yang sudah pasti (tak dapat diubah), memohon jumlah hari yang sudah ditetapkan hitungannya, serta rezeki yang sudah dibagi-bagi, yang tak dapat disegerakan sebelum waktunya dan tak dapat diundur sedikit juapun dari waktu yang telah ditetapkan semula. Seandainya engkau mohon kepada Allah Ta'ala perlindungan dari siksa neraka atau siksa kubur, itu lebih baik dan lebih bagus." (Hadis Riwayat Muslim)

Apakah sumbangan aku pada Islam setakat ini? Umur saja meningkat tetapi amal?

Perjuangan ku belum selesai...

Jika benar ikut Rasul

Dulu aku tak faham dan hanya mengikut-ikut. Rupa-rupanya dakwah ini ialah sunnah terbesar Rasulullah saw yang sudah lama ditinggalkan orang. Orang ingat berdakwah hanya buat ustaz dan ustazah saja sedangkan ia wajib buat semua orang. Amar makruf nahi mungkar. Sekarang memang ada je orang mengajak kepada kebaikan tetapi yang menegah kepada kemungkaran tak ramai, kerana tak cukup berani. Kenapa tak cukup berani? Mungkin disinilah masalah iman yang membelenggu, lalu hanya mampu menegah di dalam hati, itulah selemah-lemah iman. Akulah itu...

Jika benar aku ikut Rasul, tentu aku mampu mencintai Allah sebagaimana Rasul meletakkan cinta kepada ALlah di tempat teratas dan pertama. Aku akan lakukan semuanya kerana Allah dan tidak lain melainkan Allah. Hatta dalam berukhuwwahpun aku berukhuwwah kerana Allah. Aku suka kerana Allah, marahpun kerana Allah. Adakah aku benar-benar meletakkan Allah ditempat pertama?

Jika benar aku ikut Rasul, aku akan meletakkan kecintaan selepas Allah kepada kecintaan kepada ummat. Siapa yang dapat menandingi kecintaan kepada ummat melainkan Baginda seorang? Banyak sirah menceritakan betapa cinta dan sayangnya Baginda terhadap ummatnya, tetapi aku pula bagaimana? Adakah nampak tanda-tanda aku kasihkan saudara sesama Islam sebagaimana kasihnya Baginda? Kalau tiba-tiba dari sudut mana datang seseorang yang tidak dikenali menarik tudung ku dengan ganasnya dan meminta wang, adakah aku akan bagi sewenang-wenangnya? Akupun tak mampu nak berkata ada apabila diminta pertolongan oleh orang yang tidak dikenali. Aku akan pandang dulu atas bawah, dan berfikir banyak kali untuk memberi pertolongan. Lebih-lebih lagi pada zaman sekarang amat sulit untuk membalas kejahatan dengan kebaikan. Cintakah aku pada ummat? Selepas aku solat, pernah ke aku doakan kesejahteraan ummat atau aku doakan untuk diri ku sendiri saja?

Sekiranya aku benar-benar ikut Rasul, tentu aku akan ikut akhlak Baginda. AKhlak Baginda semulia al-Quran. Aku pasti dapat menunjukkan sifat seorang muslimah yang benar-benar menjaga akhlak, pandangan dan mempunyai budi pekerti yang mulia. Aku akan beracuankan Khadijah dan Siti Fatimah, dan aku akan buang semua tabit buruk ku. Sebagus-bagus muslim ialah apabila dia mampu meninggalkan percakapan dan perbuatan yang tidak mendatangkan manfaat langsung bagi dirinya. Sedangkan aku?

Betul ke tak betul aku nie ikut Rasul? Ya ke? Sedangkan dalam kehidupan seharian ku terasa seperti jauh sekali dari kehidupan Baginda. Adakah aku tegar di jalan ini, jalan yang penuh onak dan duri, suatu jalan yang panjang, yang tidak mampu digalas melainkan oleh orang-orang yang hebat...atau sampai masa aku akan berundur dan menyerah kalah walaupun aku tahu dakwah tidak memerlukan aku tetapi akulah yang memerlukan dakwah...sebagaimana Allah tidak memerlukan aku tetapi akulah yang memerlukan Allah.

"Wahai manusia! Kamulah yang memerlukan Allah, dan Allah Dialah Yang MahaKaya (tidak memerlukan sesuatu), Maha Terpuji (35:15)

Wednesday, April 16, 2008

Syurga Allah bukan mudah dan murah

Hendak dapatkan redha Allah dan syurga Allah bukan mudah dan murah. Perlukan pengorbanan, perlukan susah payah, perlukan tenaga dan harta. Berjuang bermati-matian pun kadangkala tak dapatpun pahala jika tidak disertakan dengan niat yang benar. Begitulah aku selalu ingatkan diri aku. Kena berdisplin, kena kurangkan tidur yang enak-enak. Sewaktu Rasulullah saw telah dilantik menjadi Rasul, Rasulullah saw berkata kepada Khadijah lebih kurang begini bunyinya, "Masa untuk bersenang lenang sundah habis,"

"Dan Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan (kebajikan dan kejahatan). Tetapi dia tidak menempuh jalan yang mendaki dan sukar? (90:10-11)

Jadi, kalau kita merasa sedikit lelah dalam mencari kebaikan, dalam mencari redha Allah, itu memang wajar. Tengok Rasulullah saw. Seorang Nabi, seorang Rasul yang banyak bersusah payah dan berkorban di dunia, bukan sahaja untuk dirinya tetapi untuk ummat. Tapi kita, kita menyongsang arus. Kita banyak bersenang lenang pula kat dunia ni. Banyak makan, banyak tidur, banyak buang masa dan banyak berceloteh hal yang sia-sia.

Teringat zaman aku kerja dulu, mengumpat tu perkara biasa. Sewaktu aku mula berjinak-jinak meninggalkan era mengumpat ni, aku cuba lari dari mendengarnya kerana tidak mahu bersubhat tetapi aku tewas. Masakan tidak, kiri kanan orang duk bercerita hal yang kalau dia bercerita tidak akan mengubah duniapun. Tidak membawa apa-apa manfaat malah menjadikan orang yang mendengar berburuk sangka pula akan berita yang diceritakan itu. Walaupun aku cuba meninggalkan mereka tetapi kadangkala aku tertarik sama. Mungkin waktu itu aku tidak cukup kuat untuk menegah mereka. Tetapi yang anehnya lelaki yang bekerja di pejabat tidak pula seperti perempuan, datang ke meja dan start buat 'ketupat'!

Banyak juga dosa yang aku dapat ketika kerja. Belum lagi dalam hal menguruskan urusan kerja, belum tentu aku kerja dengan baik. Sampai waktu, tau pulak nak balik awal tapi kualiti kerja? Aku sendiri ingat. Mencuri-curi waktu membaca al-Quran dan dhuha di surau. Sedih juga melakukannya berseorangan. Aku tidak cukup kuat waktu itu. Cuma yang masih meninggalkan kesan, tiap-tiap sekian petang, aku dan seorang kawan sepejabat akan belajar mengaji di IQRA, Kampung Baru. Free je belajar mengaji situ cuma nak atau tak nak je. Kalau aku teruskan di situ, mungkin dah macam-macam aku faham dah. Walaupun pernah berlaku satu cerita terhadap aku di situ. Aku sendiri tidak menduga akan diuji tetapi syukurlah Allah menyelamatkan aku. Tidak perlulah aku cerita nanti lain pula persepsi orang terhadap orang-orang yang hafaz Quran atau bergelar hafiz ni.

Benar, betul lah seperti yang diceritakan di dalam al-Quran,

"Dan jika kamu mengikuti kebanyakan orang di bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Yang mereka ikuti hanya persangkaan belaka dan mereka hanyalah membuat kebohongan." (6: 116)

Paling mencuit hati apabila kawan sepejabat menegur, "Ida, kau pakai stoking kat tangan?" "Ni bukan stokingla, sarung lengan." Tergelak sekejap aku. Tapi zaman tu tak ramai orang memakai sarung lengan. Tak macam sekarang, tapi seperti biasa sarung lengan sekarang disalah guna. Biasa saja aku lihat pemandangan gadis memakai t-shirt sendat berlengan pendek dan memakai sarung lengan. Aduih, geleng kepala jap. Dulu orang pelik tengok tapi sekarang aku pulak yang pelik tengok.

Memang wajarlah kalau kita ajak orang buat baik mereka akan memberi 1001 alasan. Sedangkan sewaktu aku berada diposisi itu yang inginkan perubahan, aku bermati-matian mencari jalan, agar aku dapat mendengarnya, agar aku tidak ketinggalan seperti orang lain yang berebut-rebut nak kan rahmat dan redha Allah, fastabiqul khairat...

Memang susah kita nak tarbiyah kawan-kawan, ajak mereka kepada yang benar, lebih-lebih lagi mereka dah biasa dengan kehidupan mereka sejak kecil lagi, jadi tentulah sukar. Silap-silap mereka pulak yang berjaya menarik kita kepada kejahilan semula.


"Dan wahai kaumku! Bagaimakah ini, aku menyerumu kepada keselamatan, tetapi kamu menyeru ku ke neraka?" (40: 41)

Tetapi jangan kerana itu membuat kita merasa jemu, merasa penat. Sepayah-payah mentarbiyah kawan-kawan, payah lagi mentarbiyah famili.

Mungkin belum ditimpa kepayahan, kesakitan dan kesengsaraan. Pernah aku lihat insan-insan disekeliling ku. Dahulunya mereka ceria, sihat dan gembira. Tetapi sekarang mereka sudah tidak ada lagi di dunia ini. Yang mengharukan, mereka muda dari aku. Tidak nampak tanda-tanda mereka sakit dan mereka memang tidak sakit. Tidak semena-mena mereka diserang sakit jantung dan rupa-rupanya hasil kajian doktor, mereka banyak kolestrol. Ada juga yang aktif bersukan dan sihat tubuh badan tetapi tiba-tiba diserang sakit jantung juga lalu pergi meninggalkan alam yang fana ini. Dari ALlahlah kita datang dan kepadaNya lah kita akan dikembalikan.

"Dan apabila Kami berikan nikmat kepada manusia, dia berpaling dan menjauhkan diri (dengan sombong), tetapi apabila ditimpa malapetaka maka dia banyak berdoa" (41:51)

Kalau kita nak berniaga dan dapatkan keuntungan yang berlipat ganda, berniagalah dengan Allah nescaya kita tidak akan dirugikan. Pesanan buat diri sendiri juga. Perbaharui iman dan niat kita kerana Allah.

"Wahai orang-orang yang beriman! Maukah kamu Aku tunjukkan suatu perdagangan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih? (Iaitu) kamu beriman kepada Allah dan RasulNya dan berjihad di jalan ALlah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui." (61:10-11)

Thursday, April 10, 2008

Aku mengajak kamu kepada Allah semata-mata

Bersemangat pula aku nak menulis setelah singgah ke blog akhwat solehah, ummi murobbiyah. Lalu aku teringat satu kisah tragis beberapa hari lepas, salah seorang kawan ku difitnah. Syukur kepada ALlah kerana kebenaran akhirnya tertegak juga setelah aku memberikan penjelasan. Dengan memberi tajuk "Berbaik sangka kepada ALlah dan sesama manusia" aku dapat memberi clue kepada mad'u untuk mengutarakan persoalan yang telah tersimpan di dalam hatinya. Oh, selama ini begitu ceritanya. Punyalah terharu setelah dapat menerangkan bahawa selama ini semuanya itu hanyalah salah faham. Betapa banyak pahala yang ukhti nie dapat setelah difitnah sedemikian rupa, sehingga ada ex-mad'u yang melihatnya dalam perjalanan ke masjid, sanggup berpatah balik dan membatalkan hasrat ke masjid. Beginilah akibatnya apabila sesuatu berita yang berbentuk persangkaan itu diterima bulat-bulat tanpa diselidik terlebih dahulu.

"Wahai orang-orang yang beriman! Jika seseorang yang fasik datang kepadamu membawa suatu berita, maka telitilah kebenarannya, agar kamu tidak mencelakakan suatu kaum kerana kebodohan (kecerobohan), yang akhirnya kamu menyesali perbuatanmu itu." (Al-Hujurat 49: 6)


Tiada kata-kata yang dapat menceritakan betapa gembiranya hati ini dan kawan tersebut kerana setelah bertahun kami tidak mengetahui punca sebenar mereka mereka ini melarikan diri, akhirnya dapat tahu juga. Dan hanya dengan satu pertanyaan dan satu jawapan bisa merungkaikan kesalahfahaman yang akhirnya ditanggung derita oleh seorang yang tak bersalah memakan masa yang agak lama. Bayangkan betapa dahsyatnya kesan fitnah ini! Syukur pada Allah. Berkat kesabaran dan ketabahan hati seorang insan, semoga ALlah melipatgandakan ganjaran yang beliau telah hadapi selama ini.

Bayangkan apa perasaan anda sekiranya datang dari jauh semata-mata mengajak kepada ALlah dan Rasul tetapi diterima dengan pelbagai tohmahan dan persangkaan buruk, sehingga orang yang difitnah tidak tahu langsung apa kesalahannya. Bayangkan sehingga hendak solat pun takde sapa yang nak jemaah dengannya kerana menyangkakan dia seorang yang sesat! Gara-gara persangkaan dari seorang yang bergelar 'ustaz', yang ada sijil agama, mereka dengan mudahnya percaya dan terus mengecop dia begitu dan begini, sedangkan hakikatnya dia membawa kepada jemaahpun tidak sama sekali tetapi membawa kepada Allah semata-mata! Bayangkan..bayangkan...

Pernah satu kes lain, seorang bergelar ustaz telah meminta maaf atas kesilapannya kerana telah menyebabkan satu kelompok masyarakat buruk sangka terhadapnya, tetapi sedihnya namanya yang sudah busuk tidak dibersihkan sehinggalah sekarang. Syabas ukhti atas kesabaran yang tinggi.

Teringat kata-kata Uzar sewaktu di Kursus Solat hari tu, Uzar kata diri diapun kami sebagai peserta kena periksa sama ada betul ke tak betul apa yang dia bawa. Nak tergelak pun ada tapi rasional apa yang beliau katakan. Semua ini ada kena mengena dengan ilmu. Kalau kita takde ilmu, kitapun tak dapat nak membezakan kebaikan dan keburukan, kebenaran dan kebathilan. Tapi ilmu yang disertai dengan imanla, bukan logik akal semata-mata.

Syukurla, syukurla...cemburu juga kawan nie banyak dah pahala dia dapat. Teringat sewaktu Rasulullah saw menyampaikan dakwah dulu, sampai masyarakat menuduh Baginda gila dan ahli sihir, sampaikan Baginda dilempar batu, sampai berdarah-darah. Tapi kita nie baru kena tohmahan, fitnah, janganlah kerana ini membuatkan kita lemah dan bersedih hati sedangkan kitalah yang tinggi darjatnya sekiranya kita orang yang beriman. (Rujuk Ali Imran ayat 139)

"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah suatu kaum mengolok-olok kaum yang lain, (kerana) boleh jadi mereka (yang diperolok-olokkan) lebih baik dari mereka (yang mengolok-olok), dan jangan pula perempuan-perempuan (mengolok-olokkan) perempuan lain..." (Al-Hujurat 49: 11)

Memang tempiasnya pun turut terkena pada aku dan memang terasa dipandang semacam oleh mereka mereka ini. Syukurlah, kerana kebenaran sudah terbukti, aku juga dapat menyelamatkan mad'u ku dari kehilangannya. Betapa berharganya aku rasakan memiliki walaupun seorang mad'u...masakan tidak, aku mengenalinya dan memulakan dari zero..dan sedikit demi sedikit ku pupuk baja kasih-sayang dan seruan ke arah kebaikan dan segala-galanya aku sertai dengan memastikan iman ku terpelihara. Semuanya kerana aku mahukan ALlah memandang ku dan meredhai ku, dan membantu aku di saat-saat getir seperti ini. Ya ALlah, semuanya dengan kasih-sayang dan rahmat dari Mu. Aku nie apalah yang ada, hanya hambaMu yang masih bertatih...

Allahu akbar wa lillahilhamd...

"Sungguh, orang-orang yang menuduh perempuan-perempuan yang baik, yang lengah* dan beriman, mereka dilaknat di dunia dan di akhirat, dan mereka akan mendapat azab yang besar" (An-Nuur 24: 23)

*Yang dimaksud dengan perempuan-perempuan yang lengah ialah perempuan-perempuan yang tidak pernah sekalipun teringat akan perbuatan yang keji

Begitulah lumrah penerimaan masyarakat sekarang. Orang yang membawa kepada Islam, pengabdian kepada Allah dianggap sesuatu yang pelik, sehinggakan pertolongan yang diberi dianggap mempunyai makna tersirat sedangkan apa yang dilakukan hanyalah semata-mata kerana ALlah, kerana mengaplikasikan akhlak Rasulullah saw, kerana mengganggap umat Islam itu bersaudara. Pelik kalau tengok orang-orang yang membaca al-Quran di hentian bas, di dalam bus, di lrt, dan dimana-mana tapi tak pelik tengok orang couple yang berkepit dengan pasangan masing-masing. Kalau nampak orang nie pegang atau baca al-Quran, dianggap ekstrim dan menunjuk alim. Yang difokuskannya perkara-perkara sebegini tetapi masyarakat yang makan riba, rasuah, zina disenyapkan aja dan dikatakan biarlah mereka sendiri suka dengan apa yang mereka buat, itu hak mereka dan macam-macam lagi. Perkara sebegini jugalah yang ditekankan Uzar dalam kursus Solat yang lalu. Sememangnya banyak ilmu yang diperolehi. Tak abis lagi demam Kursus Solat rupanya :)

Sedih juga, kadang-kadang sesama Islampun bersangka buruk dan irihati sedangkan kita sama-sama nakkan Islam.

"Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah banyak dari prasangka, sesungguhnya sebahagian dari prasangka itu dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain, dan janganlah ada diantara kamu yang menggunjing sebahagian yang lain. Adakah ada diantara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Tentu kamu merasa jijik. Dan bertakwalah kepada Allah, sungguh Allah Maha Penerima Tawbat, Maha Penyayang." (Al-Hujurat 49: 12)

Thursday, April 03, 2008

Kursus Solat Uzar : mumtaz!

Alhamdulillah, puji-pujian bagi Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Akhirnya aku dapat juga ke Kursus Penghayatan Solat atau Kursus Kesempurnaan Solat dan Muhasabah Diri oleh Uzar pada 30 Mac baru-baru nie. Walaupun meninggalkan suami dan anak-anak tersayang yang masih menyusu tetapi itu tidak menjadi penghalang untuk memperolehi ilmu yang paling penting dan berharga nie. Perancangan asal memang aku pergi dengan suami tetapi memandangkan suami terpaksa bekerja pada hari tersebut jadi terpaksala aku pergi seorang. Naik bas malam 29hb kul 12 tengah malam dengan anak-anak dan sampainya di KL dijemput oleh ibu bapa ku kerana mereka akan menjaga anak-anak ku sepeninggalan aku nanti. Dapat je keta, terus ke UIA. Tapi sebelum tu sempat solat Subuh di Masjid Jamek Kampung Baru dan bersarapan sekali.

Syukurlah walaupun direct dari Kedah tetapi tak mengantuk sepanjang kursus Uzar berlangsung. Ini adalah disebabkan betapa penting setiap point yang Uzar sampaikan sehinggakan nak ke tandaspun terpaksa ditangguhkan dulu. Semasa di sana, terjumpa akak tempat kerja lama yang datang dengan suaminya. Kursus tamat kul 7 malam, itupun rasa macam tak cukup dengan ilmu yang diberi. Balik rumah beberapa hari aku semak semula kerana masalah ingatan aku yang tak power ni.

Sekarang aku rasa gembira kerana solat dengan ilmu dan bukannya solat kerana ikut-ikutan. Barulah aku tahu sifat solat Rasulullah dan pegangan mazhab-mazhab, tidak terkecuali para sahabat. Rupa-rupanya solat aku selama nie tak sempurna dan tak betul..Ya Allah semoga Kau ampunkan dosa-dosaku.

Betapa pentingnya kita solat dengan ilmu, ganjarannya pun lebih besar dari orang yang solat tanpa ilmu. Kalau nak diterangkan satu persatu di sini memang tak cukup. Mudah-mudahan dapatlah aku sampaikan kepada kaum keluarga dan kawan-kawan tentang ilmu solat yang aku dapat di kursus ini. Balik rumah mak je terus share dengan adik-adik dan mak.

Sedih juga kerana selama nie kita solat tanpa ilmu dan ikut dan je..ada diantara pergerakan kita berpandukan pada 'mazhab sendiri' dan kita ingat betullah cara kita itu, padahal Rasulullah tak buat pun.

Lagi satu yang kerap ditekankan oleh Uzar adalah mengenai kefahaman dan mind set orang Malaysia nie yang mudah sangat memberikan 'cop' kepada individu yang solat pelik sket dari orang lain, padahal solatnya betul, contohnya tak dengar sebutan basmallah kerana diucapkan perlahan tetapi kita sangkakan dia tak baca basmallah. Lantas tanpa ilmu menuduh orang tersebut wahhabi dan sebagainya, sedangkan membaca basmallah secara perlahan adalah amalan sahabat Nabi seperti Abu Bakar, Umar, Uthman, ALi, Ibn Masud, Ibn Zubair, Ammar dan ijtihad ulama seperti Imam Abu Hanifah dan AHmad. Walaupun begitu Uzar menasihatkan di Malaysia eloklah baca kuat sebab nanti kecoh pula dicop macam-macam. Kedua-duanya tidak menjadi masalah kerana basmallah dengan kuat merupakan pandangan Imam Syafie, Said Ibn Jubair, Ato' Abi Rabah dan Mujahid walaupun sebenarnya lebih baik ikut amalan yang paling tinggi fadhilatnya.

Lagi satu yang menarik dari Uzar yang jarang berlaku dalam kursus agama ialah Uzar sempat mengambil peluang ini dengan memberi ingatan dan amaran keras dari ALlah tentang aurat, zina di tempat kerja, rasuah, riba, akhirat, azab kubur, dakwah bagi wanita, perfume dan kiamat. Siap ada tayangan lagi pasal kiamat dan azab kubur. Walaupun aku pernah tengok beberapa scene kat You Tube tapi itu bukan penghalang untuk bermuhabasabah diri lagi skali. Lagi terkesan kerana ditayangkan di skrin yang besar dan speaker yang kuat. Masa tu aku rasakan itulah tangisan takutkan Allah yang aku rindukan selama beberapa tahun nie, betapa payahnya hendak merasakan takut kepada Allah yang diiringi dengan tangisan.

Waktu kursus berlangsung aku tetap menyimpan rasa risau pada anak ku yang kecik tu kerana dia tak pernah lagi ditinggalkan sehari suntuk tanpa bekalan susu umminya. Kalau diberi susu perahanpun dia tak mahu minum kerana sudah biasa menyusu secara langsung dengan umminya. Syukurlah dia ok ok je dengan atuk dan nenek yang bagi upah susu kultur. Tak tahulah kenapa 'Iffah suka sangat minum susu kultur. Kalau pergi kedai mesti nak susu tu. Syukurlah 'Iffahpun bulan Mei nie genaplah dua tahun dan aku akan cuba menyempurnakan susuan seperti yang tercatat dalam Al-Quran.

Dalam kursus ni barulah aku dapat point penting dan memahami maksud Rasulullah, "Solatlah kamu sebagaimana kamu melihat aku solat" iaitu sebagaimana kita ada ilmu bagaimana Rasulullah saw solat. Seperti yang diketahui umum solat juga merupakan amalan pertama dihisab dan baik solatnya maka baiklah amalannya. Ia merupakan perintah langsung dari Allah kerana perintah yang lain melalui perantara Malaikat Jibril.

Seronok waktu tiba di sana dapat lihat ketibaan Uzar dengan satu famili. Isteri Uzar dan anak mereka 4 orang turut meraikan kursus ini. Alhamdulillah sebab dapat beli buku Solat Uzar dengan harga istimewa dan beli awal kerana ada peserta yang tidak dapat beli kerana kehabisan stok. Siap ambil autograf tu.

Satu berita yang menggembirakan Uzar akan menyambung pelajarannya ke peringkat Phd di luar negara. Mudah-mudahan Allah permudahkan urusan Uzar ke sana dan itulah jawapan yang diberikan oleh Uzar kenapa beliau mengakhirikan episod Kursus Solatnya itu.

Semoga Allah membalas Uzar dengan kebaikan yang banyak.

Wednesday, January 23, 2008

Perniagaan apa yang menguntungkan?

Tidak ada sesiapapun di dunia ini yang berniaga tetapi mahu perniagaannya rugi. Tahu tak apakah perniagaan yang menguntungkan dan dengan siapa kita akan beroleh keberuntungan itu. Mari baca entry terbaik antara yang terbaik dari sahabat seiman kita, Ukht Ummu Abdullah.

Jual beli dengan Allah

Bismillahi walhamdulillah...

Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah, lalu mereka membunuh atau terbunuh.... (At-Taubah, 9:111)

Meneliti ayat di atas, indah, luar biasa sungguh ni'mat Allah swt. Allah swt tidak pernah menzalimi hambanya, malah menghargai hambanya dengan pemberian luar biasa. Di mana pemberianNYA berupa Syurga yang tak pernah kurang ni'mat dan keindahannya.

Allah telah mengurniakan fizikal/tubuh badan kepada kita. Allah juga telah memberi harta dan kekayaan kepada kita tanpa bayaran satu sen pun. Malah, selepas itu ALlah ingin membeli pula 'barangan' yang dihadiahkannya kepada kita dengan bayaran yang luar biasa. Apakah jenis pembelian ini? Aneh...! Belum pernah berlaku di muka bumi, seorang sahabat memberi hadiah istimewa (eg: kereta) kepada kita. Kemudian dia ingin membeli daripada kita hadiah yang dihadiahinya sebentar tadi (kereta) dengan bayaran yang lebih bernilai daripada hadiah yang ingin dibelinya (eg: 5 buah kereta mewah). Bukankah ini aneh sekali???

Lihatlah Ukhti,
Betapa Allah amat menyayangi hambanya. Betapa Allah tak pernah lupa pada hambanya, betapa allah tak pernah leka dengan hambaNya. Cuma diri kita yang semakin hari, semakin jauh darinya, yang semakin hari, semakin kurang mengingatinya.

Ukhti Fillah,
Bila Allah telah membuat suatu perniagaan dengan kita, adakah kita ingin menolaknya, sedangkan semua orang inginkan syurgaNya? Namun bagaimana cara untuk merealisasikannya? bagaimana cara untuk membiasakan dengan diri kita.

Mengorbankan harta dan jiwa, bukanlah suatu yang mudah seperti dalam sebutannya. Malah, mengorbankan masa juga belum tentu, masih beralasan untuk bekerja, masih beralasan untuk ke ta'lim. Nampaknya masih ada yang berkira-kira dengan Allah. Berkira-kira dalam memilih samada Allah ataupun hal dunia yang semestinya akan punah, hancur dan luluh...

Maka, kobarkanlah semangat saudaramu, tingkatkanlah kualiti kerja-kerjamu dan kurangkanlah maksiat-maksiat kecil yang dapat merosakkan iman kita secara halus... Bertaqwalah pada Allah... dengan penuh kekhusyukan. teruskan beramal, moga Allah menerina amal-amalmu

Sunday, December 30, 2007

Ayat-ayat Cinta

Setelah beberapa hari akhirnya aku abis membaca Ayat-ayat cinta versi Bahasa Melayu. Perasaan? Hati aku gerimis membacanya. Malah sehingga kini aku terbayang-bayang kisah itu. Dan tak dinafikan keromantikan novel itu turut mempengaruhi aku untuk berintonasi yang sama.

Kawan aku kata dia menangis waktu Fahri diseksa di dalam penjara. Tapi aku nangis sewaktu Fahri terlantar sakit, bibirnya tidak henti mengalunkan ayat-ayat suci Al-Quran dalam keadaan diluar sedar. Bermimpi bertemu sahabat Nabi, Abdullah bin Mas'ud. Dan sewaktu Aisha menyuruh Fahri berkahwin dengan Maria, demi menyelamatkan nyawa Maria dan suaminya sendiri. Juga yang menyebakkan sewaktu Maria menceritakan mimpinya dan menghembuskan nafasnya yang terakhir dalam keadaan sempat berwudhu'. Betul-betul memberi penangan yang hebat bagi siapa yang membaca novel ini. Ada akhawat tanya, "Akak, kalau kita baca kita sedihla kan..tapi kalau orang biasa-biasa baca agaknya derang sedih tak?" Akupun tak tahu nak jawab apa. Tapi yang pastinya sejak aku baca Ayat-ayat cinta, aku jadi lebih bersemangat untuk menjadi seorang muslimah sejati, dan mempertahankan nikmat Iman dan Islam yang Allah bagi padaku.

Memang tak mudah menjadi sang Fahri. Tapi tak mudah menjadi seorang mukmin sejati andainya memahami Islam. Kebijaksanaan Kang Abik mengolah watak Fahri benar-benar membuat hati aku luluh. Salah satunya sewaktu dia terlantar sakit dan Maria menyentuh pipinya, lantas cepat-cepat Fahri kata, "Jangan Maria tolong, ja..jangan sentuh!"

Ayat-ayat Cinta The Movie
Semoga Allah mengurniakan ganjaran yang selayaknya buat Kang Abik yang mencipta novel sebagus ini. Aku sarankan sapa yang tak baca lagi, bacalah kerana anda pasti tidak rugi memilikinya. Sekarang ia telah difilemkan dan akan menyusul tak lama lagi, Ayat-ayat Cinta The Movie. Sudah tentu aku takkan ke panggung semata-mata nak menonton filem ini. Matlamat tak menghalalkan cara. Yang pasti trailernya memang best banget! Oleh kerana aku menyaksikan trailernya terlebih dahulu dari membaca novel ini, aku kerap dibayangi perjalanan filem itu sendiri.

Thanks to Aida sebab bagi link pengarah filem ini iaitu Kisah di balik Ayat-ayat Cinta. Terkesan aku membaca blog dia.

Terasa kerdilnya hamba Allah di muka bumi ini. Apabila aku baca novel tu, aku terasa seolah-olah aku berada di Mesir, menjadi Fahri Abdillah. Dan perjalanan Fahri sebagai seorang muslim yang menjaga akhlak sangat aku kagumi. Teringat sewaktu mula-mula aku dapat hidayah dulu, asalnya aku termasuk blog seorang ikhwah. Buat pertama kalinya aku tergamam membaca ayat-ayatnya yang sungguh terjaga tata tertibnya. Sampai aku tergerak untuk bertanya dengan lebih lanjut kepada beliau supaya aku dapat seorang kawan perempuan dari kalangan beliau. Dan aku terkejut dengan budi bahasanya yang sopan sekali. Tatkala tu aku jadi malu sendiri dan hati aku berkata, "Masih ada rupanya lelaki yang baik kat muka bumi ni"

Dan aku suka dengan watak Fahri yang menjaga masa dan berdisiplin. 10 tahun kehadapan sudah disiapkan perancangan hidupnya.

Kisah Fahri bertemu dengan Aisha juga buat aku teringat sewaktu aku bertemu dengan suami ku. Cara yang sama tapi situasi yang berbeza. Oh ya cuma yang bezanya Fahri pernah bertemu Aisha tapi aku tak pernah bertemu suami aku. Tidak bercinta apalagi tak wujud istilah couple. Lantas aku bersyukur kerana melalui semua ini. Yang diharapkan pernikahan yang barakah dan suci.

Jika aku ditempat Aisha aku juga akan melakukan hal yang sama. Benar apa yang diceritakan Penulis, sebaik-baik Aisha yang mengizinkan Fahri menikah dengan Maria, pasti cemburu tetap ada kerana itulah fitrahnya wanita. Maria seorang gadis kristian yang bertingkahlaku seperti wanita Islam. Di sinilah Penulis berupaya menawan hati non-Muslim untuk mendekati Islam yang mulia. Novel ini banyak menjelaskan kekeliruan mengenai wanita dalam Islam. Hakikatnya Islam memandang mulia kaum wanita dan mengangkat taraf wanita yang dulunya dijadikan hamba, dijadikan objek seks dan ditanam hidup-hidup. Subhanallah, indahnya Islam digambarkan penulis.

Syabas buat Kang Abik atau Habiburrahman el-Shirazy, novelis Sarjana Al Azhar University Cairo. Semoga sentuhan beliau lebih kreatif dan menarik ramai lagi masyarakat khususnya golongan belia untuk membaca karya beliau seterusnya memperolehi 'sesuatu' yang ingin disampaikan oleh penulis..

Jazakallah buat suami tersayang yang menghadiahkan novel ini sebagai tanda ingatan hari ulangtahun perkahwinan kami yang ke-4 pada 26 Disember 2007. Dapat 2 hadiah dan of course yang ini paling bermakna. Hadiah yang ada 'ruh'nya tersendiri.

Allahumma inni as-aluka ridhaaka wal jannah. Ya Allah, aku mohon redhaMu dan syurgaMu. Amiin.

Tuesday, September 18, 2007

Target Ramadhan

Lupa nak share sesama, apa target Ramadhan korang sumer tahun nie er? Macam aku selain dari nak katam quran aku jugak nak setelkan juz amma. Sepatutnya juz amma dah patut hafal bagi seorang daie kan...

Untuk memudahkan kita dapat mencapai target atau azam kita Ramadhan kali nie, kita buatlah dalam bentuk kalendar untuk sebulan nie. If nak khatam quran kita bahagikan siap-siap dan tolak bagi yang uzur tu..jadi dalam sehari kita dah set kena abihkan bapa juz. Amal-amal lain pun bole letak kat kalendar tu macam nak kurangkan marah bapa persen, nak sedekah seminggu at least bapa kali dan sebagainya. Jadi bila kita dapat melaksanakannya untuk hari tersebut, kita tick right kat situ. Habis Ramadhan nanti kita bole buat post mortem bapa persen tercapai. So the next Ramadhan kita boleh improve lagi, Insya Allah. Itupun jika Allah izinkan kita bertemu dengan Ramadhan lagi sekali.

Friday, September 14, 2007

Salam Ramadhan Kareem

Salam rindu buat sahabat seiman yang dikasihi kerana Allah, maafkan serta halalkan segala khilafan diri ini sempena ramadhan yang mulia, semoga ramadhan kali ini dapat mendidik diri dan menundukkan nafsu kita dalam menggapai cintaNya.

Salam shahrul mubarak buat semua di sana...

 
design by Free Blogger Designs