Wednesday, March 12, 2008

Bergantunglah kepada DIA

Dulu sewaktu aku mula-mula bergelar zaujah atau seorang isteri, terdetik dihati persepsi masyarakat betapa sepasang suami isteri itu akan saling berganding bahu dan memikul amanah rumahtangga bersama-sama, orang kata susah senang bersama, sehidup semati dan macam-macam istilah menggambarkan betapa pasangan yang sudah dimaterai dengan pernikahan mempunyai bukan saja keterikatan hati yang satu tetapi juga segala-galanya, ibarat kata tidak dapat dipisahkan lagi. Sehinggakan pepatah yang tidak masuk akalpun turut disebut-sebut seperti lautan api ku renangi, dan macam-macam yang biasanya digunakan dalam kehidupan mereka yang bercouple. Maklumlah belum berkahwin lagi semuanya dirasakan indah, dah kahwin nanti baru nampak true color masing-masing.

Aku turut merasa bahang tersebut sewaktu awal-awal bernikah dulu, walaupun kami tidak bercouple tetapi melalui proses taaruf yang insya Allah berjalan mengikut syariatNya. Waktu itu tidak tinggal serumah kerana suami masih belajar lagi. Walaupun aku sudah diberi 'amaran' rumahtangga daie bukan semudah rumahtangga orang-orang biasa tetapi perkara itu mampu ku balas dengan senyuman sahaja kerana tidak merasakannya lagi. Tidak berapa lama kemudian, apabila zauj diposting ke utara tanah air, barulah aku rasai cabaran sebagai isteri daie, yang bukan saja menggalas dakwah terhadap diri dan keluarga tetapi juga masyarakat.

Waktu itu aku sedang berbadan dua anak kedua, baru diperingkat awal dan cabaran itulah paling besar dalam hidup aku. Diatas kejahilan dan kurangnya tarbiyah dalam diri, aku banyak makan hati dan bersedih kerana sering ditinggalkan. Dengan keadaan rumah usang yang diduduki tanpa kecukupan keperluan dan anak sulong yang masih belum setahun umurnya membuatkan aku semakin lemah menghadapi kerenah dunia. Waktu itu aku juga tidak berapa mengenali akhwat. Aku sering mengalami alahan yang teruk sewaktu awal-awal mengandung menyebabkan aku banyak 'melepet', terbaring dan menangis. Waktu itu aku berasa kasihan kat Iemaan kerana terasa dia diabaikan. Aku tidak lalu nak masak bubur nasi untuknya tetapi aku gagahkan juga, sampai sekali masak aku buat stok dan simpan dalam peti ais. Iemaan lak waktu tu baru nak belajar bertatih. Kebiasaannya budak yang nak dapat adik nie akan buat perangai, keadaan tu juga terjadi pada dia.

Tapi aku tersangatlah bersyukur kerana mempunyai seorang suami yang sangat penyabar melayani kerenah aku yang bermacam ragam nie. Aku rasa waktu itulah aku bersikap paling tidak solehah terhadap suami. Sepatutnya aku lebih bertimbang rasa dan bertolak ansur kerana suami keluar bukan suka-suka tetapi menggalas amanah yang sangat berat! Tahun itu juga aku diuji dengan kemalangan kereta yang dipandu suami. Syukurlah suami ku selamat tetapi waktu itu bukan kata-kata tenteram yang aku berikan padanya tetapi marah-marah. Aku berasa bersalah sangat apabila mengingati peristiwa tersebut. Mungkin kerana aku ikutkan sangat emosi aku yang alah waktu itu.

Seperti biasa apabila makan je mesti muntah balik hinggakan takde apa yang tinggal dalam perut. Aku banyak terbaring dan membiarkan Iemaan bermain-main sendiri. Nak keluar beli makanan, aku tak reti memandu waktu itu. Keretapun digunakan suami, motorpun takde lagi masa tu. Waktu tu baru pindah dan tak berapa kenal jiran tetangga. Nak keluar memang tak larat kerana alahan. Waktu tu teringat kat family di Kl, rindu masakan mak dan macam-macam lagi sehinggakan mak sponsor tiket kapal terbang suh kita balik umah dia. Memang dalam keadaan yang tertekan tu, aku sudah dapat jangkakan anak yang akan lahir juga pasti akan dipengaruhi. Sangkaan ku benar apabila 'Iffah selalu menangis masa aku dalam pantang, sehingga dia berumur setahun lebih pun perangai kuat menangis dia memang melekat. Memang berbeza sungguh perangai dia dan abangnya yang mudah dijaga sewaktu kecil. Semua serba tak kena, siang atau malam menangis je kerja dia, lebih-lebih lagi waktu petang ke malam. Aku tak berpantang seperti orang lain kerana sibuk duk mendodoi anak yang menangis. Masa tu si abangpun tak faham lagi, tak boleh terima adik dia. Kalau tidur malam-malam, asal 'Iffah memulakan tangisannya, abang Iemaanpun nangis sama. Aku tak mampu nak handle dua orang sekaligus. Memang 'meriah sungguh' rumah ku tengah-tengah malam. Nak harapkan abinya? Jangan bermimpi kerana abinya sibuk dengan urusan lain yang lebih penting. Akhirnya aku terpaksa korbankan Iemaan kerana tangisan 'Iffah yang tidak berkesudahan akan mengundang bahana, lebih-lebih lagi dia masih kecil, nanti sakit lain yang datang aku juga yang susah. Apabila aku teringat semula kenangan tersebut, aku berasa seperti aku bermuhasabah diri ku sendiri.

Mengandungkan 'Iffah memang mencabar, dari mula sehingga dia lahir. Tapi aku yakin, semua ini tarbiyah langsung dari Allah yang hendak melihat aku lebih mensyukuri nikmatNya, lebih 'tahan lasak' disamping lebih mengerti tugas ku lebih dari itu, bukan hanya seorang isteri daie, ibu tetapi juga aku ibarat penggerak kelancaran urusan rumahtangga dan anak-anak.

Jika dibandingkan dengan sekarang memang aku banyak belajar dari pengalaman lepas dan aku tidak menyesal merasai semua itu. Sekurang-kurangnya ada hikmah yang aku dapat. Aku semakin sedar, bukan mudah menggalas tugas sebagai seorang ibu. Walaupun sesetengah orang memandang remeh 'kerjaya' seorang surirumah, tetapi tidak pada pandangan aku. Kerana aku bukan saja seorang ibu rumahtangga tetapi akulah yang akan mencorakkan anak-anak ku dan bagaimana rupa bentuk rumahtanga aku. Adakah senget sebelah, seimbang atau bagaimana. Memang aku tahu aku tak bole samakan dengan rumahtangga orang lain. Paling agak sama pun dengan isteri-isteri yang memiliki suami yang selalu outstation.

Semasa aku bergelar ibu ni lah, aku banyak belajar erti hidup. Dari tidak tahu memandu aku sudah membawa kereta merata-rata, malah menyusukan anak sambil membawa kereta (jangan ikut aksi ini) belajar bawak motor dan belajar menguruskan rumah dan anak-anak tanpa memikirkan pergantungan kepada suami. Ya, orang akan berkata, apa guna berkahwin jika tidak menggalas rumahtanga bersama-sama tetapi lihatlah dari skop apa. Bukan bermakna suami lepas tangan tetapi dibandingkan peranannya terhadap masyarakat dan keadaan umat yang kian tenat, itu lebih patut diutamakan. Bukannya tidak balik ke rumah langsung. Kalau dibandingkan orang-orang yang kerja 'besar' tu lagi selalu ditinggalkan, kadang-kadang berbulan-bulan, yang suaminya kerja di pelantar minyak, setahun empat kali je dapat jumpa, jadi kita yang tidak ke tahap itu sepatutnya bersyukur. Mungkin kerana kita tidak didedahkan dengan pengalaman oranglain yang lebih mencabar dari kita...dan kita terlepas pandang bagaimana keadaan Rasulullah saw dan para sahabat. Kalau dibandingkan dengan masyarakat Malaysia memang tak kemana kita tetapi kalau bandingkan masyarakat Arab, ditinggalkan berbulan-bulan adalah perkara biasa. Lihat sajalah kehidupan mujahid yang memperjuangkan Islam, meninggalkan anak dan isteri demi ALlah dan RasulNya.

Wanita juga adalah penggerak dakwah itu sendiri kerana wanitalah yang akan mencorakkan generasinya sama ada menjadi celupan (sibgah) Allah atau sebaliknya. Belum lagi peranan sebagai seorang murabbiah yang perlu memikirkan mutarabbinya. Bayangkan bagaimana mahu meng'handle' kepala-kepala umat yang pelbagai kerenah dan berbeza latar belakang hidup. Bukankah ini satu tugas yang mulia, menyeru kepada kebaikan dan mencegah kejahatan. Dengan secara tak langsung mendidik aku agar tidak bersikap individualistik.

Yang aku semat di hati ialah pergantungan kepada Allah, itu lebih selamat dan membahagiakan kerana Allah tidak pernah memungkiri janjiNya. Aku kenangkan betapa kesusahan sebagai seorang isteri dan ibu akan dibalas oleh Allah dengan ganjaran besar. Mudahnya wanita ingin memasuki syurga tetapi di neraka penghuni majoritinya ialah wanita juga. Mungkin kerana mereka tidak mahu menggunakan kelebihan yang Allah beri kepada mereka untuk digunakan sebagai penyelamat dari api neraka. Wanita itu, sehingga urusan solatpun Nabi berpesan solat di dalam bilik, di dalam rumah itu lebih baik. Kenapa sampai begitu sekali? Sama-sama kita fikirkan. Betapa wanita inilah penentu kejayaan sesuatu bangsa dan masyarakat. Kalau rosak kaum wanitanya maka lihatlah bentuk masyarakat yang dilahirkan, kita boleh lihat seperti yang ada sekarang.

Semakin usia menginjak waktu, semakin aku membenarkan kata-kata Hassan Al-Banna, tugas yang kita pikul melebihi waktu yang kita ada!

 
design by Free Blogger Designs