Thursday, January 10, 2008

Salam Ma'al Hijrah 1429H

Peristiwa Hijratur Rasul saw. yang bermula setelah baginda memeterai Baiatul Aqabah atau Baitul Kubra bersama beberapa qabilah arab yang datang dari Yathrib ( Madinah Munawwarah ) , maka bermulalah satu detik gemilang dalam sejarah ummat Islam di atas muka bumi ini .

Detik yang menyaksikan tertegaknya Negara Islam ( Islamic state ) yang pertama di atas muka bumi . Namun begitu sahabat ku ......ianya tidak tegak dengan lampu ajaib aladin ataupun tongkat sakti pendekar dari gua , tetapi ianya tegak dengan harga yang terlalu tinggi setelah melalui episod Perjuangan dan Pengorbanan yang tiada taranya.

Nabi saw. sendiri hampir sahaja terbunuh dalam peristiwa hijrah apabila rumah baginda saw. dikepung oleh kuffar Makkah pada malam hijrah , demikian pula baginda saw. diburu oleh Suraqah bin Malik bin Ja'sham , seorang pembunuh upahan yang sangat tangkas memacu kuda dan cekap pula melepaskan anak panah setelah menerima tawaran lumayan dari Abu Jahal berupa 100 ekor unta merah .

Suhaib Ar Rumi rha. pula mengorbankan seluruh hartanya yang diserahkan kepada Abu Jahal sebagai cagar pelepasan setelah perjalanan hijrahnya terhalang oleh Road block pihak berkuasa Makkah pada waktu itu . Pengorbanan inilah wahai sahabatku ......yang telah menerima pengiktirafan dari Qadhi Rabbul Jalil.

"... dan diantara manusia , ada orang yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredhoan Allah dan Allah itulah Tuhan yang Maha Penyantun terhadap hamba - hambanya. (Surah Al-Baqarah Ayat 207)

Sahabatku.... Cuba kita lihat pula bagaimana Syaidina Ali karramallahuwajhah yang telah mempertaruhkan nyawanya dengan mengambil ranjang tidur baginda saw. pada malam hijrah guna melengah dan mengelirukan orang - orang kafir musyrikin Makkah yang mengepung rumah Rasulullah saw. sedang umurnya masih remaja berusia 18 tahun .
Segalanya ( perjuangan dan pengorbanan tersebut ) dilakukan untuk memastikan hasrat Baginda Rasul saw. yang mahu menegakkan Negara Islam menjadi satu realiti , biarpun musuh bersatu dan melakukan pelbagai tindakan bagi menghalang penubuhan negara Islam di Madinah .

Demikianlah sahabatku.. , Hijrah adalah PROJEK besar baginda Rasul saw. yang sarat dengan tema perjuangan dan pengorbanan untuk membina sebuah tamaddun yang tunduk dan patuh kepada Allah swt.

Sebelumnya , Gerakan Islam yang dipimpin oleh Baginda Rasul saw. mendapat tentangan hebat dari kaum kerabat dan orang kampung baginda Rasul saw. sendiri , biarpun mereka sangat mengenali peribadi dan hati luhur baginda Rasul saw.
Hanya dengki , hasad , dendam , ego dan jahil menjadikan mereka menolak mentah - mentah perjuangan nabi saw. malah mereka bertindak nekad melulu dengan menangkap , menyeksa dan membunuh mereka yang menyertai Gerakan Islam pimpinan Baginda Rasul saw.

Sayugianya kita , apabila menyambut ulangtahun Peristiwa Hijrah ini , kembali menghayati semangat perjuangan dan pengorbanan Rasul saw dan para sahabat rhm. ke arah mendaulatkan kembali syariat Ilahi yang telah tiada pada hari ini . Lucunya ...apa yang aku lihat , ramai menafsirkan iktibar yang perlu diambil dari peristiwa Hijratur Rasul saw. ialah hijrah dari malas jadi rajin , dari buta huruf jadi celik huruf , dari tak baik jadi baik dsb.nya dengan aku tidak menafikan itu adalah satu unsur yang positif dalam kehidupan kita namun iktibar yang terhenti di atas unsur sebegitu sahaja menjadikan kita gagal menghayati PROJEK sebenar nabi kita Muhammad saw. yang melakukan hijrah ke Madinah .

-koleksi fail

 
design by Free Blogger Designs