Wednesday, January 09, 2008

Perindu Cinta - 1. Langkah baru

Seperti kebiasaan, stoking yang berwarna coklat itu ku sarung ke kaki. Bersiap-siap untuk menuju ke Baitul Iman yang terletak 20 kilometer dari kediaman. Sandal bertumit rendah berwarna hitam ku sarung. Setelah berdoa aku langkahkan kaki menuju ke perhentian bas, kira-kira 15 minit dari rumah. Setiap Rabu malam aku perlu menghadirkan diri ke sana untuk mengikuti usrah mingguan. Di sana suasananya berbeza, tidak seperti di pejabat atau di taman rekreasi, atau di kolej lama tempat aku belajar. Ia adalah diantara taman-taman syurga, kerana di sanalah tempat aku memperolehi ilmu dan pengisian ruhani. Malaikat-malaikat pastinya berada disegenap penjuru rumah itu mendengar dan mendoakan insan yang mengikutinya.

“Ukhti, ana lihat anti macam ada masalah je, betul ke?” Sapa Raiyyani, teman seusrah ku yang muda 3 tahun dari ku.

“Er…yeke? Hihi, takdela…mungkin ana letih kot, maklumlah keja..”

Jawabku dengan sedikit tersentak. Sebenarnya aku tengah memikirkan suasana kat pejabat yang tak keruan sejak bos kami mengingatkan tentang etika seorang pekerja. Kebelakangan ini aku kerap lewat ke pejabat, punch kad pun merah sahaja. Sehingga, makcik belakang aku beritahu jika aku lewat berturut-turut aku akan dikenakan tindakan tatatertib. Aku tahu teguran bos itu ditujukan kepada aku, walaupun ada beberapa pekerja yang memang terkenal dengan kelewatan malah kadang-kadang tidak nampak batang hidung di pejabat sebelah pagi. Di jabatan tempat aku bekerja terdapat 26 staf. Seorang pegawai tadbir, 3 orang penolong pegawai tadbir dan seorang penolong pegawai system maklumat. Aku merupakan penolong pegawai tadbir yang menguruskan latihan dan kursus untuk pekerja. Aku juga diamanahkan untuk menguruskan kemasukan pelajar praktikum. Oleh kerana usrah selalu habis lewat malam jadi aku bermalam di Baitul Iman ini. Selepas Subuh barulah aku akan ke pejabat yang jauhnya 35 kilometer dan pastinya aku lewat tiba.

“Bagitaula kalau ada musykilah. Kitakan akhawat, sama-sama bersaudara. Mungkin masalah kat pejabat?” Duga Raiyyani seolah-olah dapat meneka.

Aku menceritakan perkara sebenar. Aku lihat Raiyyani mengangguk-angguk tanda faham. Zulaikha dan Rosniza yang setia menjadi pendengar dari tadi memberi beberapa kata-kata hikmah yang sungguh berharga.

“Kita tidak boleh jadikan penglibatan kita di dalam dakwah sebagai alasan untuk tidak berdisplin dalam urusan kerjaya. Ingatlah ukhti, kerja di pejabat itu satu amanah Allah buat kita dan kita perlu berikan komitmen terhadapnya. Dakwah dan kerja biarlah seiring. Sama macam kami sebagai siswazah juga, penat tu biasalah ukhti…macam Raiyyani lagilah, kelas dari pagi sampai ke petang, takde gap langsung, anti bayangkan bagaimana penatnya dia? Dengan assignment dan aktiviti wajib kampus, dan macam-macam lagi discussion group yang perlu diuruskan. Tapi jika kita jadikan itu sebagai penghalang untuk mengemban dakwah jadi bagaimana dengan masyarakat? Bagaimana pula keluarga kita yang perlukan tarbiyah kita? Bagaimana dengan kawan-kawan yang masih leka di luar sana?” Kata Zulaikha.

“Ukhti, bukankah jalan kita adalah jalan para nabi dan rasul. Ingat tak Rasulullah menyampaikan Islam pada awalnya secara sembunyi-sembunyi di rumah Al-Arqam bin Abil Arqam. Kemudian sahabat-sahabat yang berada di situ menyampaikan kepada keluarga dan orang lain. Selama 3 tahun kemudian barulah Islam disebarkan secara terang-terangan atas perintah Allah swt.

Rasulullah dan para sahabat bukan semata-mata sebagai pendakwah, tetapi juga mempunyai karier masing-masing. Rasulullah sendiri seorang businessman dan bukan makan gaji seperti kebanyakan orang. Semua perlu diuruskan baginda, sedangkan baginda sendiri tidak pernah melupakan umatnya. Inilah contoh ikutan kita, bekerja tanpa melupakan tugas sebagai daie. Zaman Rasulullah dahulu penuh penyeksaan dan ujian yang sangat dahsyat. Baginda dihina, dicerca dan sahabat-sahabat baginda disiksa dengan pelbagai cara yang menyedihkan. Kita ini tidak lain dan tidak bukan membawa risalah Rasul, untuk mengajak orang ramai mendekati dan mengamalkan ajaran Islam sepenuhnya, kerana umat Islam sekarang ramai yang sudah lalai, sudah lupa akan ajaran Islam sebenar. Sudah hanyut dengan perang pemikiran dan dakyah-dakyah yang dibawa oleh orang-orang yang bencikan Islam, yang tidak mahu melihat umat Islam bersatu.

Kitalah ukhti, jika bukan kita golongan pemula lalu siapa lagi? Jika kita tidak membawa mesej dakwah, dan jika kita tinggalkan dakwah, dakwah tetap saja berjalan dan bergerak bersama-sama orang yang mengemban dakwah. Bukankah kita yang rugi? Kitalah yang perlu memulakan dan menggerakannya, bukan hanya menunggu bulan jatuh ke riba. Tidak mahukah kita memperolehi pahala yang besar? Cukupkah dengan amal harian kita secara individu, dengan ibadah yang rukun saja? Ada masa terluang kita bersantai dan berhibur. Sedangkan masyarakat di luar sana amat tenat memerlukan kita, ukhti.”

Aku berasa ada airmata yang mengalir di pipi ku. Ya Allah, apakah yang aku lakukan selama 25 tahun di muka bumi ini, tidak sedikitpun aku fikirkan permasalahan umat. Aku hanya lakukan apa yang menjadi kesukaanku saja. Berbelanja dan enak-enak dengan life yang tidak berkesudahan. Airmata aku berlinang dengan laju.

“Ukhti, penat tu perkara biasa. Kita masih lagi diberi ruang waktu untuk beristirehat. Kita saja tidak manage masa kita dengan baik. Lihatlah tokoh Islam di luar sana, langsung tidak punya waktu untuk berehat. Ada yang dipenjara kerana semata-mata menegur pemerintahan yang liberal. Mereka di dalam penjara bukan menjalani hukuman semata-mata malah mereka mengisi waktu mereka dengan menghafal Quran, menulis buku dan pengalaman mereka dalam memperjuangkan Islam. Lihat saja kisah As-Syahid Syeikh Ahmad Yasin, pengasas Hamas di Palestin dan As-Syahid Dr. Abd Aziz Rantisi. Tokoh-tokoh ini sangat hebat di zaman mereka. Dr. Abd Aziz Rantisi adalah seorang doktor kanak-kanak yang digeruni oleh Israel, hafal Al-Quran di dalam penjara pada tahun 1990. Beliau sudah biasa keluar masuk penjara. Boleh dikatakan hidup beliau hanya keluar masuk penjara saja. Tapi itu tidak pernah melemahkan semangat beliau untuk memperjuangkan kalamullah sehingga beliau syahid pada 17 April 2004.” Raiyyani memberi penjelasan yang bagi ku sangat menyentuh perasaan.

Seketika itu aku berasa bersemangat semula. Aku perlu uruskan masa aku dengan baik. Aku mahu menjadi pembela Islam yang professional. Aku tidak mahu apa yang aku lakukan menjadi fitnah apabila kerana dakwah, prestasi kerja aku merosot. Aku boleh jadi seperti Raiyan, Zulaikha dan Rosniza. Mereka contoh pelajar terbaik di kampus. Raiyyani sudah beberapa kali memperolehi anugerah dekan. Dia mengikuti kursus bioteknologi, major dalam teknologi makanan dan sudah masuk ke tahun akhir, kini sedang praktikum di Pusat Kesihatan Perlis. Sementara Zulaikha dan Rosniza dalam jurusan Sains baru masuk tahun kedua. Mereka memperolehi gpa yang baik dalam jurusan mereka. Kalau aku ditempat mereka, tidak tahulah. Mujur aku mengambil pengajian jarak jauh untuk ijazah perakaunan, itupun sudah masuk tahun akhir.

"Para sahabat Nabi dahulu sanggup meninggalkan harta dan keluarga sewaktu berhijrah bersama-sama Nabi. Semata-mata kerana ajaran Rasulnya. Mereka meletakkan priority kepada Islam walaupun waktu itu perniagaan mereka sedang maju dan sukses. Bukanlah ana maksudkan disini supaya anti tinggalkan apa yang anti ada, ana mahu tekankan bahawa antara dunia dan akhirat, tentulah akhirat perlu diberi penekanan, antara kerjaya dan dakwah, dakwah tetap teratas, namun tidak mengabaikan urusan dunia. Lainlah jika anti tidak punya pilihan namun situasi sekarang lebih banyak masa bersenggang yang kita ada daripada masa sibuk kita, kita saja yang tidak sedar kerana ia sudah menjadi acuan dan budaya masyarakat kita."

“Syukran, antunna telah menyedarkan ana dari kelalaian ana. Ana yang tidak urus masa dengan baik dan tidak disiplin pada diri sendiri. Ana lewat ke pejabat sebab ana tak keluar awal, terlajak tidur dan ana banyak tumpukan pada assignment ana, sebab tu prestasi di pejabat merosot sikit. Insya Allah ana akan perbaiki, “ Kataku dengan benar.

Di rumah, aku lebih banyak menghabiskan masa di dalam bilik. Televisyen aku dah tak pandang. Tidak ada manfaat, balik balik konsep cerita yang sama juga, cuma situasi berbeza. Silap-silap dapat dosa apabila mengutuk jalan cerita atau pelakon yang berlakon seperti kayu. Juga melihat aurat yang bukan mahram, melihat iklan yang tidak senonoh, yang sekarang biasa saja bagi orang Malaysia. Nyanyi sana, gosip sini, semua itu takde yang dapat dijadikan bekalan akhirat aku. Dulu akulah kaki tv, bersantai depan tv dengan pelbagai cerita di Astro yang menghiburkan. Inilah silap aku, banyak masa terbuang di tv. Aku perlu ubah dari menonton tv kepada sesuatu yang lebih berfaedah. Bacaan tilawah ku juga tunggang langgang, perlu perbaikan. Aku kena lebihkan masa bertilawah dan tadabbur ayat-ayat Al-Quran. Sambil aku belek-belek surah As-Sajdah, aku terlihat terjemahan ayat yang ke 15 dan 16,

“Orang-orang yang beriman dengan ayat-ayat Kami, hanyalah orang-orang yang apabila diperingatkan dengannya (ayat-ayat Kami), mereka menyungkur sujud dan bertasbih serta memuji Tuhannya, dan mereka tidak menyombongkan diri. Lambung mereka jauh dari tempat tidurnya, mereka berdoa kepada Tuhannya dengan rasa takut dan penuh harap dan mereka menginfakkan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka.”

Tidak semena-mena aku bersujud dan mengucapkan syukur kepada Allah diatas sinaran iman ini. Aku rasakan begitu dahsyat penangan ayat-ayat ini kepada diriku, yang selalu lupa kepada Pencipta. Malam itu aku qiam dengan penuh khusyuk dan tenang, dengan penuh limpahan air mata keinsafan. Biarlah esok mata bengkak ku menjadi tatapan orang di pejabat. Yang pasti aku tenggelam dalam kenikmatan yang belum pernah ku rasakan sedamai dan semanis ini. Lebih manis dari cinta monyet pertama ku dulu. Ya Allah, Ya Rabbi, Tuhan ku yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang, tenggelamkanlah aku dalam dakapan kasih-sayangMu yang tidak berpenghujung. Sinarilah nurani ku dengan cinta Mu yang abadi…aku rindu ingin menemui Mu…

Kini, langkah ku langkah yang baru, azam baru, niat yang satu, segalanya hanya buat Allah Rabbul Izzati. Ya Allah, syukurlah aku masih diberi kesempatan untuk merasa sentuhan tarbiyah ini, sebelum aku mati tanpa meninggalkan apa-apa bekalan, untuk ku dan keluargaku, untuk orang lain. Aku berkobar-kobar ingin menyampaikan apa yang aku dapat kepada ibu, abah, Along dan adik-adik. Aku nak share dengan kawan-kawan pejabat, nak ajak mereka kepada kebaikan, secara berperingkat-peringkat. Aku nak ingatkan sahabat baik ku, Amy tentang solat di awal waktu. Aku tahu bukan senang kerana mereka pasti memberi banyak alasan dan persoalan. Tidak mengapa, aku akan cuba dengan berhikmah. Tapi aku risaukan Amy, kerana Amy tak pernah solat. Tiba-tiba aku cuak. Bagaimana aku nak tegur Amy untuk menunaikan solat dengan berhikmah? Sebelum nie apabila aku nak solat, aku solat je sendiri sedangkan Amy buat tak tahu saja. Aku pula takde upaya nak ajak dia solat kerana aku takut dia kecil hati. Nah, sekarang bagaimana ya? Aku buntu...

Bersambung…

 
design by Free Blogger Designs