Sunday, January 06, 2008

Bercinta 5 kali sehari

Mari kawan kita berhenti sejenak untuk pandang cermin. Lihat diri kita dicermin. Apakah yang kita nampak? Mestilah diri kita kan? Lagi, apa ye yang kita nampak? Cuba kita lihat pancaindera kita, sempurna tak? Ada tak yang kita tak suka tentang diri kita? Pastinya kalau ada pun sekadar perkara yang remeh macam hidung tak mancung ke atau terlalu kurus atau apa-apalah tentang fizikal diri kita. Seterusnya apalagi ye yang kita tak puas hati tentang diri kita?

Zahirnya kita masih kuat, sihat dan berupaya melakukan apa saja yang kita mahu seperti makan, minum, berjalan dan sebagainya. Cuba bayangkan tiba-tiba kita tak dapat bernafas selama beberapa minit tanpa kita ketahui apa puncanya. Agak-agak apa tindakan refleks yang akan kita buat? Mari bayangkan sekarang! Agaknya kita sempat tak nak buat apa-apa dalam waktu panik dan kritikal itu? Yang terfikir dalam benak kita tentulah kematian. Kenapa mesti mati? Sebab bila mati tentulah pernafasan kita terhentikan...


Bagaimana jika waktu itu kita sedang berada di luar rumah, sedang melakukan aktiviti kesukaan kita. Dan waktu itu kita belum lagi menunaikan solat. Mungkin jika kematian menjemput waktu itu kita tak dapat pun menunaikan solat yang telah difardhukan ke atas kita pada waktu itu, sedangkan waktu solat sudah masuk setengah jam yang lalu. Lalu waktu itu sempatkah kita terdetik untuk menyesal kerana tidak solat diawal waktu?

Bagaimana pula jika kita seorang yang sememangnya lalai dalam ibadah solat ataupun memang dah lama tak solat. Solatpun waktu sekolah rendah masa mata pelajaran Agama Islam sebab Ustazah ajar. Jika kita tak biasa dengan solat lalu bagaimana kita nak ringan mulut menyebut nama Allah, betul tak? Sedangkan solat itu sendiri adalah soalan pertama yang akan disoal oleh Allah di akhirat kelak. Lalu, bagaimana lidah kita dapat mengucap dua kalimah syahadah jika kitapun tak biasa mengucap kerana tak pernah solat? Kenapa agaknya kita tak ambil berat tentang solat, tetapi kita ambil berat tentang puasa? Bila waktu Ramadhan kitapun tanak ketinggalan berpuasa tetapi solatnya masih tak cukup 5 waktu atau tidak sama sekali. Jika solatpun hanya di bulan Ramadhan, kadang-kadang ada miss ya.


Rasa-rasanya apa yang kita anggap solat itu sendiri? Adakah kita faham itu satu kewajipan atau tidak? Jika kita tahu ia wajib jadi mengapa kita ambil ringan dan ambil mudah tentang solat? Adakah susah berhenti di masjid atau surau untuk solat sebentar yang tak ambil masa yang lamapun...betul tak? Sekarang ini dimana-mana begitu mudah untuk mendirikan solat kerana masjid dan surau begitu banyak, di shopping complex pun sama. Sedangkan kita lihat di negara yang melarat dan di negara yang majoritinya bukan Islam, begitu sukar mencari tempat solat, tetapi jika mukmin itu benar-benar takut akan azab Tuhannya, dia boleh saja solat dimana-mana asalkan diyakini tempat itu bersih. Jangan kerana kita merasakan banyak melakukan dosa memberi alasan untuk tidak menunaikan kewajipan ini. Bukankah yang layak menentukan diterima atau tidaknya amalan kita hanyalah Allah semata-mata? Mengapa perlu mendengar kata-kata oranglain yang tidak mahu melihat kita berbuat baik? Kenapa kita takut hukum dan undang-undang ciptaan manusia tetapi kita nak bermain-main dengan hukum Allah?


Pernah ke kita rasa tak sedap hati kalau tertinggal satu waktu solat? Atau kita rasa biasa je dan tak rasa bersalah langsung. Ingatlah jika kita rasa bersalah atau tak keruan, itulah tandanya iman kita menegur kita. Sayangilah iman yang ada dalam diri kita walaupun iman kita itu senipis kulit bawang. Adakah kita tak rasa malu kalau tak solat? Dengan keluarga dan kawan-kawan, dengan Allah apatah lagi. Adakah kita tak rasa kita nie seorang hamba?

Manusia dilahirkan fitrahnya bersifat hamba. Jika kita bukan hamba kepada Tuhan iaitu Allah maka kita akan jadi hamba kepada perkara lain seperti hamba duit, hamba perempuan, hamba seks, nafsu dan sebagainya. Adakah kita tak pernah nak berazam untuk memperbaiki ibadah kita yang paling penting ini. Ya Allah, ampunilah dosa-dosaku! Sinarilah aku dengan cahaya rabbanimu Ya Allah...!


Marilah bermuhasabah, merenung dan berfikir dalam diri, sampai bila kita nak terus-terusan begini? Sukakah kita dengan keseronokan yang bersifat sementara ini. Kenapa kita perlu malu untuk berubah, melakukan kebaikan. Kenapa kena malu? Malulah pada Allah yang melihat setiap perbuatanmu...Bagaimana kita bisa dicintai Tuhan jika kita tidak mencintaiNya, tidak menanti-nanti untuk bertemu dengannya di atas sejadah cinta. Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar. Bercintalah dengan Tuhanmu, agar kau dicintaiNya, lebih dari kau bercinta dengannya 5 kali sehari.

"Dan mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Dan solat itu amatlah berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyuk, iaitu mereka yang yakin, bahawa mereka akan menemui Tuhannya dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya (Al-Baqarah:45-49)"



"Ya Tuhanku, jadikanlah aku dan anak cucuku orang-orang yang tetap mendirikan solat, ya Tuhan kami, perkenankan doaku" (Ibrahim:40)

 
design by Free Blogger Designs