Tuesday, May 13, 2008

Coretan buat adik


Ummi masih ingat saat-saat adik dilahirkan. Ummi menahan sakit selama 3 jam dan dalam waktu itu penuh dengan kesakitan yang teramat sangat, tak mampu diungkapkan dengan kata-kata. Sebaik saja ummi melihatmu, ummi rasa gembira dan bersyukur, kerana adik lahir secara normal. Masa tu, ummi lihat adik sedang tidur, badan adik putih bersih tanpa secalit darah kecuali sedikit di bahagian kepala. Selepas tu doktor kejutkan adik suruh adik bangun. Adikpun nangis, "Uwaaa...uwaa..."

Sebaik saja adik lahir, ummi cepat-cepat beritahu doktor ummi nak susukan adik secara eksklusif. Doktorpun senyum dan menyokong sepenuhnya niat ummi.



Pengalaman membesarkan adik memang mencabar. Ummi mendodoimu dengan penuh kasih-sayang, walaupun adik tetap menangis dan menangis. Ummipun tak faham kenapa dengan adik tetapi ummi kesiankan adik kerana adik seolah-olah sedang sakit. Bila adik dah penat baru adik tidur, tetapi tak lama kemudian adik nangis kembali. Ummi sudah ikhtiar berjumpa doktor dan ustaz tetapi adik masih begitu juga. Akhirnya ummi redha dan tawakkal pada Allah bahawa kedatangan adik merupakan ujian buat ummi untuk menguji sejauhmana kesabaran dan pengorbanan ummi sebagai seorang ibu.


Ummi merasakan adik insan yang paling bertuah dibandingkan dengan abang kerana adik mendapat susu ibu sepenuhnya dan adik membesar dengan keringat ummi 24jam. Walaupun ummi menghadapi dugaan sewaktu menyusukan kamu, tetapi ummi gagahkan jua kerana ummi yakin akan khasiat dan keajaiban susu ibu dibandingkan susu formula. Ummi kesian sangat kat para ibu di luar sana yang mampu menyusukan anak tetapi masih tak faham dan tak nak menuntut ilmu tentang hal ini. Mereka hanya mahukan senang saja dan ambil jalan mudah. Mereka lebih suka memberikan anak mereka susu lembu dari susu mereka sendiri. Sedih juga ummi kerana keluarga ummi sendiripun tak titikberatkan hal ini walaupun ummi dah beritahu banyak kali kebaikan susu ibu.


Ummi tidak tahu dari mana ummi dapat kekuatan melakukannya. Pernah saja ummi hampir berputus asa kerana tidak tahan sakit apabila mengalami bengkak susu dan jangkitan kuman tetapi melihat saja wajahmu yang bersih tanpa dosa, ummi batalkan niat ummi. Memang hebat ujian pada ketika itu disebabkan kamu selalu saja menangis, jadi mereka mengganggap ummi tidak mempunyai susu yang secukupnya. Tapi syukurlah Allah permudahkan ummi dan ummi dapat menyelamatkan anak ummi dari minum susu lembu.

Selamat hari lahir sayang...


Pada 11 Mei yang lalu, genaplah adik 2 tahun. Ummi tak dapat nak beritahu perasaan ummi betapa ummi bersyukur dan gembira kerana usaha dan pengorbanan ini mencapat targetnya. Alhamdulillah ummi berjaya menyempurnakan susuan kepadamu sehingga kamu berumur 2 tahun. Kini kamu masih menyusu. Walaupun kamu kecil dibanding abangmu tetapi kamu tetap istimewa dan bijak kerana minum susu ibu. Bahagianya ummi sekarang. Ummi rasa nak buat pengumuman pada satu dunia yang ummi berjaya melakukannya. Ummi rasakan para ibu bekerja tentulah lebih gembira lagi kerana mereka bekerja tetapi dalam masa yang sama berjaya juga menyusukan anak mereka.

Diusia 2 tahun, adik sudah pandai mengira walaupun adik masih tak ingat susunan nombor 6 dan 10. Adik sangat petah berkata-kata dan adik suka ikut apa yang abang cakap. Ummi risau juga kerana adik seorang perempuan sedangkan abang lelaki. Ummi harap adik contohi yang baik saja dari abang ya. Ummi juga perasan adik dah pandai memberontak dan dah tak suka naik pengangkutan awam. Baru-baru ini adik buat perangai dalam bas dan komuter sehingga kita terlepas komuter yang datang. Adik jerit dan tak dengar kata-kata ummi. Semua orang pandang kat kita masa tu tapi ummi tabahkan hati dan bersabar. Akhirnya berjaya jugak ummi pujuk adik. Ummi harap adik tak ulangi lagi ya.


Adik juga pernah buat ummi terharu. Pernah satu hari adik telah tumpahkan nasik dan tanpa melihat ummi, adik terus pergi ke dapur dan mencapai sebatang penyapu. Adik terus sapu nasik-nasik tersebut walaupun adik tidaklah tahu cara menyapu. Adik sapu saja tanpa sedikitpun pandang kat ummi yang sedang tanya kat adik kenapa tumpahkan nasik. Ummi tahu kamu takut sebab tu kamu tak berani pandang ummi. Sebenarnya ummi tak jadi nak marah apabila tengok kesungguhan adik, malah ummi nak nangis kerana terharu...

Sekarang kalau tangan kamu kotor je kamu akan berjalan sendiri ke bilik air dan basuh tangan sendiri sama ada dengan panjat kerusi dan menggunakan sinki atau kamu ceduk air di dalam baldi untuk membasuh tangan. Selepas itu kamu akan beritahu ummi kamu dah basuh tangan sendiri sambil menunjukkan tanganmu. Ummi akan cakap, "Pandai anak ummi..."

Ummi perasan adik sebenarnya seorang yang berdikari walaupun adik dilihat tidak boleh berenggang lama dengan ummi. Adik suka melakukan perkara sendiri tanpa bantuan ummi. Selain itu, adik suka tolong ummi buat kerja rumah seperti menyidai kain, melipat kain ataupun menguruskan abang yang buang air besar. Sedikitpun adik tak geli malah adik ringan tulang membantu. Ummi bangga dengan adik...


Buat anak ummi, 'Iffah Amaanillah, semoga kamu menjadi anak solehah dan mujahidah sejati..moga kamu akan mewarisi jalan Rasulullah dan moga kamu meletakkan Allah dan RasulNya ditempat teratas. Umi doakan kamu tabah menghadapi ujian dunia dan berlumba-lumba melakukan kebaikan. Semoga satu hari nanti kamu akan menjadi seorang jutawan....jutawan AKHIRAT...ameen...

 
design by Free Blogger Designs