Saturday, April 26, 2008

Mulakan langkah sekarang


Sudah tentu sebagai seorang yang bernama manusia tidak dapat lari dari melakukan kesilapan. Apabila terlintas untuk membetulkan kesilapan dan melakukan perbaikan, janganlah ditunggu-tunggu lagi dan berfikir panjang lagi. Teruskan langkah dan jangan menoleh lagi.

Aku bukanlah seorang yang pandai mengolah ayat, walaupun tidak dinafikan suatu waktu dulu aku boleh dikategorikan sebagai 'minah jiwang'. Pernah hantar cerpen kat majalah, hantar puisi dan tak ketinggalan di alam siber. Dulu, aku biarkan saja karangan-karangan merapu aku itu sebagai kenangan. Tapi oleh kerana aku tidak mahu membawa 'saham' di akhirat kelak, aku terus buang kesemua nukilan ku itu. Memang takde manfaatpun. Hanya mengajak orang berkhayal dan hanyut adala...Apabila aku membaca sepintas lalu, aku berkata, "Eh nie ke aku dulu? Iskk sungguh tak tahu malu..." Entah macamana aku boleh survive dalam dunia yang sebegitu aku pun tak tahu tetapi aku sudah melaluinya lebih lama dari alam tarbiyah ku ini...


Asyik kalau dilayan

Bukan tidak asyik, malah dunia yang penuh dengan hiburan dan persekitaran yang sosial tentu saja menjadikan kita leka dengan dunia. Aku yakin semua yang pernah mengalaminya dan sedang mengalaminya pasti mempunyai kesukaran untuk meninggalkan semua itu dalam masa yang singkat, lebih-lebih lagi sekiranya perubahan itu bukan dengan rela hati tetapi atas desakan luaran.


Fikirkan boleh

Percayalah, jika orang lain mampu melakukannya mengapa tidak anda yang masih menunggu-nunggu dengan menggunakan alasan, satu masa nanti..atau bila sampai seru...atau dah tua nanti...Kitapun tak tahu sempat atau tidak kita merasai zaman tua kita..


Jangan anggap remeh

Antara tips untuk konsisten dalam perubahan kita ialah dengan memekakkan telinga tetapi mengambil positif diatas sindiran, persoalan atau sebarang perli dari oranglain. Semua itu walau atas apa saja tujuan sama ada memang niat untuk membantutkan usaha kita atau sekadar usikan sahaja tetapi tetap memberi kesan terhadap kita untuk melakukan kebaikan. Walau sekecil manapun perubahan yang cuba kita lakukan, jangan mengganggap ia remeh pada pandangan Allah. Jangan anggap enteng terhadap iman kita.

Pernah je seorang kakak di pejabat berkata kepada aku sambil ketawa, "Hari tu akak mimpi kau berubah kembali kepada asal...". Aku senyum je. Tengah orang ramai lak tu. Tapi aku anggap kata-katanya sebagai motivasi.


Ikut keutamaan

Tetapi harus diingat kebaikan yang kita ingin lakukan perlulah mengikut keutamaan. Contohnya jika solat adalah perkara yang kita sendiri abaikan sebelum ini, kita hendaklah usaha untuk tidak meninggalkan solat lagi, kerana solat adalah perkara asas yang kita kena setelkan dulu. Soalan yang mula-mula akan ditanya di akhirat nanti. Kita harus menjadikan solat sebagai target pertama dan utama untuk kita perbaiki.


Jangan bertangguh

Bagi yang bekerja, sebelum balik dari kerja petang tu kita solat Asar dulu. Jangan berura-ura untuk solat di rumah. Kitapun tidak tahu sempat ke kita tiba di rumah sebelum Maghrib dan kitapun tak tahu apa yang akan berlaku di dalam perjalanan pulang dari pejabat. Jangan tangguh-tangguhkan solat dan merasa payah untuk solat di awal waktu. Disebabkan itulah ALlah meletakkan penghargaan dan ganjaran yang tinggi buat kaum lelaki yang konsisten solat berjemaah di masjid, kerana displin mereka dalam mendirikan ibadah solat. Mereka yang hatinya 'tergantung' di masjid merupakan antara 7 golongan yang akan mendapat naungan Allah di akhirat kelak, dimana tiada naungan pada waktu itu selain naungan Allah swt. (Hadis sahih)

Memang biasa jika kita lihat orang yang tidak pernah meninggalkan solat 5 waktu tetapi dalam waktu yang sama masih melakukan maksiat. Jangan melihat itu sebagai alasan untuk kita tidak mahu solat. Setiap amal yang kita lakukan itu pasti memberi kesan walaupun sedikit. Periksalah betul-betul disisi mana solat itu yang tidak sempurna, adakah niat kita sendiri yang tidak benar atau kita sendiri solat tanpa ilmu.

Apabila kita mendengar azan dan terdetik di hati untuk bersolat juga merupakan satu peningkatan iman dalam diri kita.



Zaman kegemilangan hanya sementara

Memang berat untuk meninggalkan alam yang sudah sebati dengan darah daging kita. Aku juga tidak terkecuali, lebih-lebih lagi zaman itu aku sedang dalam keadaan merasai hidup sebagai seorang yang popular dan dalam perhatian. Sempat beberapa kali merasa gelaran queen of the bla..bla..bla..dalam dua komuniti siber yang berbeza. Dapat kenal manusia yang pelbagai ragam dan latar belakang hidup. Tapi oleh kerana aku sudah bulatkan tekad, aku tinggalkan juga zaman itu dengan menyepikan diri disamping mencari kekuatan diri dalam mengenal Allah

Tapi sekarang, aku lebih suka menjadi orang-orang yang tidak dikenali apabila datang, dan tidak disedari apabila pergi...aku hanya mahukan perhatian Allah dan RasulNya...tapi layakkah aku? Imanpun hanyalah secebis, dibandingkan dengan rakan-rakan lain yang hebat-hebat belaka, apalagi nak dibandingkan dengan sahabiah Nabi, tak terkejar aku. Aku selalu merasa malu apabila berhadapan dengan komuniti masyarakat yang berkasih-sayang kerana ALlah ini. Maklumlah boleh dikatakan majoriti mereka pangkat adik-adik belaka, tapi aku gagahkan jua kerana aku mahukan pengislahan dalam diri.


Nak jadi insan bertaqwa

Aku hanya fikirkan, Allah hanya melihat kepada orang-orang yang bertaqwa, tanpa melihat latarbelakang orang itu sama ada kaya, miskin, bijak, dungu atau sebagainya. Itu sudah cukup menjadi booster buat aku teruskan langkah ini.

Satu perkara yang cukup mencabar apabila melakukan perubahan ini ialah apabila suasana sekeliling tidak membantu langsung untuk kita terus istiqamah. Pernah je waktu aku belajar part time dulu, kawan aku nie lah satu-satunya kawan perempuan yang aku ada, selalu gi kelas sesama, makan sesama, cuma solat je sendirian berhad. Waktu dia menyaksikan perubahan drastik ku, dia sendiri berkata pada aku, "Dah berubah la kau, bertambah baik kau, aku nie bila la.."

Secara fitrahnya memang manusia itu inginkan kebaikan tapi ia tidak akan datang bergolek tanpa usaha yang bersungguh-sungguh dan berterusan. Kawan aku itu tidak pernah pun aku melihat dia solat tetapi ada satu waktu tu dia tergerak nak ikut aku solat. Memang aku yang lemah iman kerana membiarkan saja dia solat untuk hari itu saja.


Selemah-lemah iman

Balik dari kelas, aku jugak yang menumpang kereta teman lelakinya sambil terpaksa akur dengan situasi tersebut. Tapi kini kami dah terputus hubungan walaupun aku pernah jua bertanya khabar. Sudah berkahwin dengan orang lain dan sudah punya anak. Semoga Allah memberi kesempatan untuknya melakukan perubahan ke arah kebaikan...itu doa aku. Aku tetap menyayanginya dari jauh kerana aku pernah bersama-sama dia berkongsi cerita, berkongsi ilmu..tapi adakah aku cukup sayang kepadanya hingga membiarkan saja dia terus-terusan dengan dunia yang telah aku tinggalkan itu?

Ada juga antara kawan ku yang asalnya seorang yang bertudung walaupun tidak sempurna menutup aurat. Dan aku turut menyaksikan perubahannya yang meninggalkan terus tudungnya itu. Ada yang berasalan untuk dapatkan client Cina dalam perniagaan dan sebagainya. Apa saja alasan mereka, aku hanya menjadi penonton...melihat saja kawan ku 'meninggalkan Islam' dengan mudah.


Di mana hendak mula?

Untuk permulaan bagi yang baru mendapat kejutan nur dari Allah, jangan terus biarkan diri dibelenggu dengan rasa dosa-dosa yang lepas. Mulakan dengan bertawbat dan beristighfar, disamping memulakan hari dengan penuh persangkaan baik kepada Allah.

Amalkan matsurat setiap pagi dan petang, usahakan solat sunat dhuha, istiqamah membaca al-quran sekurang-kurangnya seminggu 3 juz dan meningkat sedikit demi sedikit. Selain itu istighfar 100x sehari atau jika tak mampu seminggu 3 kali. Tahajud seminggu 3 kali dan meningkat sedikit demi sedikit. Insya Allah jika kita istiqamah buat sedikit demi sedikit kita akan perlahan-lahan merasai kemanisan melakukan ibadah tersebut.

Antara buku yang sesuai dibaca ialah Apa ertinya saya menganut Islam oleh Fathi Yakan.


Segalanya menjadi saksi

Debu-debu yang mengiringi setiap langkah kita jua akan menjadi bukti di akhirat kelak. Daki-daki atau bekas yang kita tinggalkan jua tidak terkecuali menjadi saksi. Sehingga pernah ku dengar pacat-pacat yang pernah menghisap darah kita jua akan ditanya untuk apa kita berada di situ, adakah mengikuti aktiviti kebaikan atau sebaliknya. Allah swt yang Maha Teliti akan menyoal kita sehingga tiada sekuman langsung yang tertinggal.

"Sehingga apabila mereka sampai ke neraka, pendengaran, penglihatan dan kulit mereka menjadi saksi terhadap apa yang telah mereka lakukan.

Dan mereka berkata kepada kulit mereka, "Mengapa kamu menjadi saksi terhadap kami?: (Kulit) mereka menjawab, "Yang menjadikan kami dapat berbicara adalah Allah, yang (juga) menjadikan segala sesuatu dapat berbicara, dan Dialah yang menciptakan kamu yang pertama kali dan hanya kepada-Nyalah kamu dikembalikan." (Fussilat :21)


Jadi adakah kita tak takut jika kita merasakan bersentuhan antara lelaki dan perempuan yang tidak halal itu sebagai biasa-biasa saja?


Rasailah kebersamaan Allah

Sesungguhnya segala pengharapan hanyalah kepada Allah. Mulakan langkah dari sekarang dan banyak-banyaklah memohon bantuan dari Allah agar dipermudahkan. Renung balik sejauhmana kita merasakan muraqabatullah atau kebersamaan Allah terhadap kita. Jika kita merasakan pengawasan Allah sentiasa ada 24jam, kita tidak akan sekali-kali berani untuk melakukan hatta satu maksiat sedikitpun.

Ibn Qayyim pernah berkata, kita tidak akan mampu mengubah sifat-sifat jahiliyah melainkan dengan ihsan Allah. Jika kita tidak merasakan hubungan, kebersamaan dan pengawasan Allah terhadap diri kita, masakan kita dapat meletakkan pengharapan untuk mendapat ihsan dari Allah.

'Abayah bin Rifa'ah r.a mengabarkan, bahawa ia bertemu dengan Abu 'Abbas ketika dia pergi ke Jum'at. Abu 'Abbas berkata kepadanya bahawa dia mendengar Nabi saw bersabda, "Siapa berdebu dikedua kakinya kerana berjalan di jalan ALlah, nescaya diharamkan Allah baginya api neraka." (Hadis sahih Bukhari)

p/s: Maaf penulisan ku yang tidak seberapa ini...

Tips bagi yang berhutang

Masih lagi demam kursus kewangan. Aku hanya nak share satu je dari apa yang aku dapat dalam kursus tersebut, iaitu apa perlu dibuat bagi mereka yang berhutang. Aku suka sebab ia sangat praktikal, dan sejarah keluarga aku juga tak terkecuali mengalami masalah ini.

♥ Ubah gaya hidup kita. Contohnya berhenti minum air selain ais kosong ataupun air suam di luar

♥ Beli barangan dapur menggunakan tunai bukannya kad kredit- jika kita ada tabiat kurang elok menggunakan kad kredit. Di mana bukan kita yang kawal kad kredit, kad kredit itu yang kawal kita

♥ Hentikan membeli barangan / servis yang diluar kemampuan kita. Contohnya surat khabar, majalah, saluran tv berbayar jika perlu

♥ Kurangkan 'window shopping', cari aktiviti riadah seperti membawa keluarga ke padang

♥ Downgrade barangan keperluan daripada yang berjenama A kepada jenama C dengan syarat ianya halal, berkualiti dan harga yang lebih rendah

♥ Downgrade pakaian seluruh ahli keluarga kepada yang lebih rendah

♥ Bentangkan belanjawan baru di meja makan, wajibkan seluruh ahli keluarga yang sudah boleh 'berfikir' (4 tahun ke atas) untuk turut sama menyediakan dan mengamalkan apa yang telah dipersetujui bersama

** kredit to Uzar

 
design by Free Blogger Designs