Friday, April 18, 2008

Hidup penuh perjuangan dan pengorbanan

"Sesungguhnya Kami jadikan manusia sentiasa dalam perjuangan yang sukar dan penat." (90:4)

Kenapa aku kena bersusah-payah dan berkorban untuk mendapatkan kemanisan iman? Baru aku tahu, fitrah manusia itu sendiri adalah dalam keadaan susah dan payah. Kita nak makan, kita perlu mencari rezeki, takkan ada makanan turun dari langit atau kita akan mendapatkan makanan di depan mata hanya melalui lintasan hati. Kita perlu keluar dan bekerja.

Penciptaan manusia itu sendiri adalah dalam keadaan yang penuh kesukaran. Sebaik sel pertama dari benih manusia menetap di dalam rahim, ia terus mula menghadapi perjuangan dan kesukaran untuk mendapatkan makanan dan suasana hidup yang sesuai dengan izin Allah. Ketika ia melalui proses kelahiran, si ibu akan bersusah payah mengumpul sekuat tenaga melahirkannya. Dari kecil dia dididik dengan penuh pengorbanan sang ibu, kelelahan dan pelbagai kerenah hingga anak itu dewasa.

"Wahai manusia, sesungguhnya engkau berjuang dengan penat lelah (dalam kehidupanmu) sehingga engkau kembali kepada Tuhanmu, maka waktu itu engkau akan menemui hasil usahamu." (84:6)

Orang-orang yang berjuang untuk mencari sesuap nasi begitu ramai di muka bumi ini. Lihat saja pendatang asing yang berhijrah ke negara ini, sanggup meredah segala macam kepayahan untuk apa? Mereka sanggup bergadai nyawa datang ke sini semata-mata mencari rezeki yang halal dan berkat. Tetapi kita pula bersenang lenang dan memilih pekerjaan sedangkan fitrah untuk memperolehi sesuap nasi itu tidak semudah menukar channel di t.v.

Ada yang berjuang untuk mendapatkan harta, pangkat, kedudukan dalam masyarakat, meraih perhatian manusia. Semua itukan memerlukan pengorbanan dan kelelahan. Penuh ancaman dan kesukaran. Orang-orang yang baru memulakan perniagaan, perlukan modal yang besar dan perlu berhadapan dengan risiko sekiranya perniagaan tersebut tidak berjaya. Bukankah kehidupan itu sendiri penuh dengan kesukaran, tetapi begitulah kita ini, cepat lupa diri bila dah berjaya lalu melupakan kesusahan yang lepas-lepas. Tak pun kita generasi yang sedang menikmati hasil susah payah orang-orang terdahulu.

Ada yang berjuang untuk jalan Allah dan ada juga yang berjuang untuk mencapai kepuasan nafsu. Sudah tentu kesukaran berjuang kerana nafsu berlainan dengan berjuang di jalan ALlah. Ada yang berjuang menuju ke syurga dan ada yang berjuang menuju ke neraka.

Hakikatnya perjuangan dan penderitaan itulah sifat kehidupan di dunia. Walau atas apa saja objektif atau motif perjuangan itu, ia tetap memerlukan kesusahan, penderitaan dan pengorbanan untuk memperolehinya.

Akhirnya orang-orang yang berjuang kerana mencari keredhaan Allah, mereka akan berehat di syurga dengan tiada lagi penat dan lelah. Mereka akan memperolehi janji Allah kepada mereka. Tetapi orang-orang yang berjuang hanya mencari keindahan dan kemewahan dunia, mereka akan bersedih dan menangisi nasib mereka dengan ditemani ulat-ulat, ular dan segala macam penyeksaan yang tidak tergambar dek akal fikiran, yang amat pedih azabnya.

Ukhuwwah imaniyah yang manis

Seorang ukhti sanggup datang dari Perlis menaiki motor ke Kedah semata-mata untuk memberi sekeping kad ucapan hari lahir. Terharunya. Kalau orang biasa mungkin akan mengatakan ukhti ni melakukan kerja yang tak masuk akal yang kebiasaannya dilakukan oleh mat romeo yang sedang mabuk asmara. Tetapi itulah dia ukhuwwah kerana Allah. Segalanya terasa ringan dan penuh kasih-sayang. Semoga ALlah membalas kasih-sayangnya dengan kasih-sayang Allah dan rahmatNya yang tidak pernah putus. Jazakillah ukhti kerana mengingati diri ini.

Umur bertambah lagi tetapi amal...

Terima kasih dan jazakumullah pada semua yang mengingati dengan menghantar ucapan melalui kad, sms dan telefon. Apa yang aku harapkan hanyalah sepotong doa agar aku beroleh keampunan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat serta dijauhkan dari azab api neraka dan azab kubur seperti apa yang dinyatakan oleh Baginda kepada Ummu Habibah r.a

"Dari 'Abdullah r.a katanya: "Pada suatu waktu Ummu Habibah, isteri Nabi saw berdoa: "Wahai Allah! Panjangkanlah usiaku bersama-sama dengan suami ku Rasulullah saw, dan dengan bapaku Abu Sufyan dan dengan saudara ku Mu'awiyah." Maka Nabi saw, "Engkau memohon ajal yang sudah pasti (tak dapat diubah), memohon jumlah hari yang sudah ditetapkan hitungannya, serta rezeki yang sudah dibagi-bagi, yang tak dapat disegerakan sebelum waktunya dan tak dapat diundur sedikit juapun dari waktu yang telah ditetapkan semula. Seandainya engkau mohon kepada Allah Ta'ala perlindungan dari siksa neraka atau siksa kubur, itu lebih baik dan lebih bagus." (Hadis Riwayat Muslim)

Apakah sumbangan aku pada Islam setakat ini? Umur saja meningkat tetapi amal?

Perjuangan ku belum selesai...

Jika benar ikut Rasul

Dulu aku tak faham dan hanya mengikut-ikut. Rupa-rupanya dakwah ini ialah sunnah terbesar Rasulullah saw yang sudah lama ditinggalkan orang. Orang ingat berdakwah hanya buat ustaz dan ustazah saja sedangkan ia wajib buat semua orang. Amar makruf nahi mungkar. Sekarang memang ada je orang mengajak kepada kebaikan tetapi yang menegah kepada kemungkaran tak ramai, kerana tak cukup berani. Kenapa tak cukup berani? Mungkin disinilah masalah iman yang membelenggu, lalu hanya mampu menegah di dalam hati, itulah selemah-lemah iman. Akulah itu...

Jika benar aku ikut Rasul, tentu aku mampu mencintai Allah sebagaimana Rasul meletakkan cinta kepada ALlah di tempat teratas dan pertama. Aku akan lakukan semuanya kerana Allah dan tidak lain melainkan Allah. Hatta dalam berukhuwwahpun aku berukhuwwah kerana Allah. Aku suka kerana Allah, marahpun kerana Allah. Adakah aku benar-benar meletakkan Allah ditempat pertama?

Jika benar aku ikut Rasul, aku akan meletakkan kecintaan selepas Allah kepada kecintaan kepada ummat. Siapa yang dapat menandingi kecintaan kepada ummat melainkan Baginda seorang? Banyak sirah menceritakan betapa cinta dan sayangnya Baginda terhadap ummatnya, tetapi aku pula bagaimana? Adakah nampak tanda-tanda aku kasihkan saudara sesama Islam sebagaimana kasihnya Baginda? Kalau tiba-tiba dari sudut mana datang seseorang yang tidak dikenali menarik tudung ku dengan ganasnya dan meminta wang, adakah aku akan bagi sewenang-wenangnya? Akupun tak mampu nak berkata ada apabila diminta pertolongan oleh orang yang tidak dikenali. Aku akan pandang dulu atas bawah, dan berfikir banyak kali untuk memberi pertolongan. Lebih-lebih lagi pada zaman sekarang amat sulit untuk membalas kejahatan dengan kebaikan. Cintakah aku pada ummat? Selepas aku solat, pernah ke aku doakan kesejahteraan ummat atau aku doakan untuk diri ku sendiri saja?

Sekiranya aku benar-benar ikut Rasul, tentu aku akan ikut akhlak Baginda. AKhlak Baginda semulia al-Quran. Aku pasti dapat menunjukkan sifat seorang muslimah yang benar-benar menjaga akhlak, pandangan dan mempunyai budi pekerti yang mulia. Aku akan beracuankan Khadijah dan Siti Fatimah, dan aku akan buang semua tabit buruk ku. Sebagus-bagus muslim ialah apabila dia mampu meninggalkan percakapan dan perbuatan yang tidak mendatangkan manfaat langsung bagi dirinya. Sedangkan aku?

Betul ke tak betul aku nie ikut Rasul? Ya ke? Sedangkan dalam kehidupan seharian ku terasa seperti jauh sekali dari kehidupan Baginda. Adakah aku tegar di jalan ini, jalan yang penuh onak dan duri, suatu jalan yang panjang, yang tidak mampu digalas melainkan oleh orang-orang yang hebat...atau sampai masa aku akan berundur dan menyerah kalah walaupun aku tahu dakwah tidak memerlukan aku tetapi akulah yang memerlukan dakwah...sebagaimana Allah tidak memerlukan aku tetapi akulah yang memerlukan Allah.

"Wahai manusia! Kamulah yang memerlukan Allah, dan Allah Dialah Yang MahaKaya (tidak memerlukan sesuatu), Maha Terpuji (35:15)

 
design by Free Blogger Designs