Thursday, April 10, 2008

Aku mengajak kamu kepada Allah semata-mata

Bersemangat pula aku nak menulis setelah singgah ke blog akhwat solehah, ummi murobbiyah. Lalu aku teringat satu kisah tragis beberapa hari lepas, salah seorang kawan ku difitnah. Syukur kepada ALlah kerana kebenaran akhirnya tertegak juga setelah aku memberikan penjelasan. Dengan memberi tajuk "Berbaik sangka kepada ALlah dan sesama manusia" aku dapat memberi clue kepada mad'u untuk mengutarakan persoalan yang telah tersimpan di dalam hatinya. Oh, selama ini begitu ceritanya. Punyalah terharu setelah dapat menerangkan bahawa selama ini semuanya itu hanyalah salah faham. Betapa banyak pahala yang ukhti nie dapat setelah difitnah sedemikian rupa, sehingga ada ex-mad'u yang melihatnya dalam perjalanan ke masjid, sanggup berpatah balik dan membatalkan hasrat ke masjid. Beginilah akibatnya apabila sesuatu berita yang berbentuk persangkaan itu diterima bulat-bulat tanpa diselidik terlebih dahulu.

"Wahai orang-orang yang beriman! Jika seseorang yang fasik datang kepadamu membawa suatu berita, maka telitilah kebenarannya, agar kamu tidak mencelakakan suatu kaum kerana kebodohan (kecerobohan), yang akhirnya kamu menyesali perbuatanmu itu." (Al-Hujurat 49: 6)


Tiada kata-kata yang dapat menceritakan betapa gembiranya hati ini dan kawan tersebut kerana setelah bertahun kami tidak mengetahui punca sebenar mereka mereka ini melarikan diri, akhirnya dapat tahu juga. Dan hanya dengan satu pertanyaan dan satu jawapan bisa merungkaikan kesalahfahaman yang akhirnya ditanggung derita oleh seorang yang tak bersalah memakan masa yang agak lama. Bayangkan betapa dahsyatnya kesan fitnah ini! Syukur pada Allah. Berkat kesabaran dan ketabahan hati seorang insan, semoga ALlah melipatgandakan ganjaran yang beliau telah hadapi selama ini.

Bayangkan apa perasaan anda sekiranya datang dari jauh semata-mata mengajak kepada ALlah dan Rasul tetapi diterima dengan pelbagai tohmahan dan persangkaan buruk, sehingga orang yang difitnah tidak tahu langsung apa kesalahannya. Bayangkan sehingga hendak solat pun takde sapa yang nak jemaah dengannya kerana menyangkakan dia seorang yang sesat! Gara-gara persangkaan dari seorang yang bergelar 'ustaz', yang ada sijil agama, mereka dengan mudahnya percaya dan terus mengecop dia begitu dan begini, sedangkan hakikatnya dia membawa kepada jemaahpun tidak sama sekali tetapi membawa kepada Allah semata-mata! Bayangkan..bayangkan...

Pernah satu kes lain, seorang bergelar ustaz telah meminta maaf atas kesilapannya kerana telah menyebabkan satu kelompok masyarakat buruk sangka terhadapnya, tetapi sedihnya namanya yang sudah busuk tidak dibersihkan sehinggalah sekarang. Syabas ukhti atas kesabaran yang tinggi.

Teringat kata-kata Uzar sewaktu di Kursus Solat hari tu, Uzar kata diri diapun kami sebagai peserta kena periksa sama ada betul ke tak betul apa yang dia bawa. Nak tergelak pun ada tapi rasional apa yang beliau katakan. Semua ini ada kena mengena dengan ilmu. Kalau kita takde ilmu, kitapun tak dapat nak membezakan kebaikan dan keburukan, kebenaran dan kebathilan. Tapi ilmu yang disertai dengan imanla, bukan logik akal semata-mata.

Syukurla, syukurla...cemburu juga kawan nie banyak dah pahala dia dapat. Teringat sewaktu Rasulullah saw menyampaikan dakwah dulu, sampai masyarakat menuduh Baginda gila dan ahli sihir, sampaikan Baginda dilempar batu, sampai berdarah-darah. Tapi kita nie baru kena tohmahan, fitnah, janganlah kerana ini membuatkan kita lemah dan bersedih hati sedangkan kitalah yang tinggi darjatnya sekiranya kita orang yang beriman. (Rujuk Ali Imran ayat 139)

"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah suatu kaum mengolok-olok kaum yang lain, (kerana) boleh jadi mereka (yang diperolok-olokkan) lebih baik dari mereka (yang mengolok-olok), dan jangan pula perempuan-perempuan (mengolok-olokkan) perempuan lain..." (Al-Hujurat 49: 11)

Memang tempiasnya pun turut terkena pada aku dan memang terasa dipandang semacam oleh mereka mereka ini. Syukurlah, kerana kebenaran sudah terbukti, aku juga dapat menyelamatkan mad'u ku dari kehilangannya. Betapa berharganya aku rasakan memiliki walaupun seorang mad'u...masakan tidak, aku mengenalinya dan memulakan dari zero..dan sedikit demi sedikit ku pupuk baja kasih-sayang dan seruan ke arah kebaikan dan segala-galanya aku sertai dengan memastikan iman ku terpelihara. Semuanya kerana aku mahukan ALlah memandang ku dan meredhai ku, dan membantu aku di saat-saat getir seperti ini. Ya ALlah, semuanya dengan kasih-sayang dan rahmat dari Mu. Aku nie apalah yang ada, hanya hambaMu yang masih bertatih...

Allahu akbar wa lillahilhamd...

"Sungguh, orang-orang yang menuduh perempuan-perempuan yang baik, yang lengah* dan beriman, mereka dilaknat di dunia dan di akhirat, dan mereka akan mendapat azab yang besar" (An-Nuur 24: 23)

*Yang dimaksud dengan perempuan-perempuan yang lengah ialah perempuan-perempuan yang tidak pernah sekalipun teringat akan perbuatan yang keji

Begitulah lumrah penerimaan masyarakat sekarang. Orang yang membawa kepada Islam, pengabdian kepada Allah dianggap sesuatu yang pelik, sehinggakan pertolongan yang diberi dianggap mempunyai makna tersirat sedangkan apa yang dilakukan hanyalah semata-mata kerana ALlah, kerana mengaplikasikan akhlak Rasulullah saw, kerana mengganggap umat Islam itu bersaudara. Pelik kalau tengok orang-orang yang membaca al-Quran di hentian bas, di dalam bus, di lrt, dan dimana-mana tapi tak pelik tengok orang couple yang berkepit dengan pasangan masing-masing. Kalau nampak orang nie pegang atau baca al-Quran, dianggap ekstrim dan menunjuk alim. Yang difokuskannya perkara-perkara sebegini tetapi masyarakat yang makan riba, rasuah, zina disenyapkan aja dan dikatakan biarlah mereka sendiri suka dengan apa yang mereka buat, itu hak mereka dan macam-macam lagi. Perkara sebegini jugalah yang ditekankan Uzar dalam kursus Solat yang lalu. Sememangnya banyak ilmu yang diperolehi. Tak abis lagi demam Kursus Solat rupanya :)

Sedih juga, kadang-kadang sesama Islampun bersangka buruk dan irihati sedangkan kita sama-sama nakkan Islam.

"Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah banyak dari prasangka, sesungguhnya sebahagian dari prasangka itu dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain, dan janganlah ada diantara kamu yang menggunjing sebahagian yang lain. Adakah ada diantara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Tentu kamu merasa jijik. Dan bertakwalah kepada Allah, sungguh Allah Maha Penerima Tawbat, Maha Penyayang." (Al-Hujurat 49: 12)

Fitna dan Sufiah : Natijah bagi umat Islam yang jauh dari Al-Quran

Aku tidak begitu ingin memfokuskan kisah Fitna yang sedang hangat diperkatakan sekarang walaupun isu itu perlu diambil ibrah yang banyak terhadap ketidakpedulian kita terhadap Al-Quran sehingga orang kafir pula yang 'begitu mengambil berat mengenainya'. Aku lebih cenderung dengan pendapat Uzar setelah membaca dalil yang Uzar sertakan. Akupun sempat menonton Fitna, ternyata banyak kelemahan yang didapati sekiranya diperhatikan betul betul, walaupun sesetengah orang yang tengok mungkin akan terus percaya. Sebaiknya kita selak kembali terjemahan yang diperlihatkan dalam Fitna tersebut kerana ayat yang dia ambilpun tak lengkap. Kalau fikir secara rasionalpun memang tak rasional menunjukkan Islam itu ganas. Kalau ganas kenapa Yusuf Islam yang dulunya Cat Steven bertukar menjadi seorang yang berakhlak mulia setelah menganut Islam, sedangkan dulu dia bukan begitu. Ganas ke kita lihat Yusuf Islam? Ganas dari sudut mana? Wajah beliau ke atau pakaian beliau yang beliau tampilkan? Itulah yang Yusuf Islam dapat setelah mengkaji al-Quran, tetapi malunya kita yang berIslam dari nenek moyang tetapi tak mahu buka, baca dan menghayati seterusnya melaksanakan perintah di dalam al-Quran.

Tetapi secara ringkasnya kesimpulan yang aku dapat kita sendiri sebagai umat Islam perlu kembali menghayati Al-Quran, bukannya apabila timbul isu begini barulah hendak melenting dan marah sana sini sedangkan hakikatnya umat Islam sendiripun buka al-Quranpun sekali sekala, sewaktu ada majlis tertentu. Al-Quran dan berislam sewaktu lapang sahaja. Kesian orang Islam kita sekarang...Agaknya kalau musuh Islam tanya kita surah apa menceritakan tentang perang dan sebagainya adakah mampu kita menjawabnya dengan baik tanpa perlu menyelak helaian al-Quran? Malulah kita kat mereka kerana mereka pula yang rajin mengkaji al-Quran. Akhirnya mereka mengambil kesempatan ini memutarbelitkan fakta al-Quran walaupun ada yang berjaya mencipta sesuatu yang baru hasil kajian mereka terhadap al-Quran. Berapa helai muka surat kita baca al-Quran agaknya hari ini? Peringatan buat diri sendiri dan semua yang inginkan peringatan.

"Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca kitab Allah (al-Quran) dan melaksanakan solat dan menginfakkan sebahagian rezeki yang Kami anugerahkan kepadanya dengan diam-diam dan terang-terangan, mereka itu mengharapkan perdagangan yang tidak akan rugi" (Al-Fatir, 35: 29)


Sufiah dulu dan sekarang

Aku macam tak percaya je tapi itulah hakikatnya. Beginikah nasibnya gadis genius yang sepatutnya menggunakan kegeniusannya untuk membezakan kebaikan dan keburukan. Adakah di sini menunjukkan kita mampu membezakan kebaikan dan keburukan tanpa iman yang benar?

Kasihan Sufiah, mungkin diwaktu dia menghadapi tekanan, orang-orang yang berada disekelilingnya tidak dapat memberi masukan atau nilai-nilai Islam, malah memberi pandangan-pandangan barat. Seolah-olah dia tidak pernah kenal Islam dan keindahannya. Aku selalu meletakkan situasi seseorang sekiranya aku berada di tempatnya, apakah yang mampu aku lakukan. Tetapi memanglah berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Adakah ini kesan didikan sekular yang tidak disertakan dengan didikan Islam?


Orang-orang yang mengambil kesempatan

Aku teremosi seketika apabila terlihat secara tak sengaja gambar 'aib' Sufiah yang tak sepatutnya diwar-warkan di dalam internet. Tapi itulah manusia sekarang, tak mahu lepaskan peluang. Ketika aku termasuk dalam satu blog aku sungguh terkejut apabila pemilik blog itu dengan tak de perasaan malu dan segan memaparkan gambar Sufiah yang separuh tak berbaju itu. Apakah maksud dia ni? Adakah dia bangga dapat letak gambar aib Sufiah kat blog dia? Adakah dia tak rasa apa perasaan kaum keluarga Sufiah yang mungkin akan melihat dari blog dia walaupun mereka sudah tahu mengenai foto itu. Adakah tuan punya blog itu seorang lelaki yang tak terfikir bagaimana jika gambar tersebut adalah gambar ahli keluarga dia sendiri. Boleh tak jika aku simpulkan orang-orang seperti ini tidak menggunakan akalnya tetapi sebaliknya menggunakan nafsu untuk berfikir. Mujurlah aku tak ingat nama blognya kalau tidak sudah tentu aku akan kembali dan meninggalkan ayat-ayat hikmah kepadanya.

Dimanakah sensitiviti umat Islam itu sendiri? Siap ada yang komen dengan memuji apa yang dimiliki Sufiah dan macam-macam yang tidak sanggup lagi aku membacanya. Menyesalpun ada. Aku merasakan iman ku dikala itu sudah ternoda dengan melihat aurat wanita lain. Sedangkan blog seorang non muslimpun tahu mensensorkan bahagian yang tak sepatutnya dilihat tetapi blog seorang yang bernama Islam pula bertindak sebaliknya. Inilah acuan masyarakat yang jauh dari al-Quran. Sedih aku dengan keadaan hari ini. Mereka inilah yang ada penyakit dalam hatinya dan perlukan pengubatan dengan kadar segera. Siap pemilik blog tu kata suka hati Sufiah nak buat apa, Sufiah sendiri senang dengan kehidupannya sekarang. Boleh pulak pemilik blog itu merasa lega dengan pengakuan Sufiah itu. Cuba isteri dia atau anak dia jadi cam Sufiah, lega ke dia? Kalau lega memang tak waras la orang nie, patut di hantar ke Tanjung Rambutan.

Sekarang bukan isu sama ada Sufiah warga British atau warga tempatan atau isu Sufiah gembira dengan kehidupannya sekarang, tetapi ia adalah mengenai keprihatinan kita sebagai umat Islam. Bukankah umat Islam itu bersaudara? Bukankah Sufiah itu seorang Islam?

Dari Abu Hamzah Anas bin Malik r.a, pelayan Rasulullah saw, bahawa Rasulullah saw bersabda,

"Seseorang diantara kalian tidak (dikatakan) beriman sehingga dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri." (HR Bukhari dan Muslim)


Samalah macam saudara kita di Palestin. Tidak timbul soal kaum mahupun bangsa asalkan namanya Islam kita perlulah ambil berat dan mengambil tindakan sewajarnya. Didalam hati aku membayangkan bagaimana perasaan aku sekiranya berada di tempat ibu Sufiah sekarang. Adakah Sufiah tidak pernah memikirkan ibunya sehingga nekad bertindak sedemikan rupa? Marilah kita ambil pengajaran dari kisah Sufiah agar tidak lupa menerapkan nilai-nilai Islam terhadap generasi kita, selalulah memikirkan kebersamaan Allah disamping kita. Jangan disebabkan tekanan dalam keluarga, kita mengambil jalan singkat atau jalan mudah, sedangkan risiko dari jalan mudah itu kesannya berpanjangan..

"Dan sungguh, Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya." (Qaf, 50: 16)


"Dan apabila Kami berikan sesuatu rahmat kepada manusia, nescaya mereka gembira dengan (rahmat) itu. Tetapi apabila mereka ditimpa sesuatu musibah (bahaya) kerana kesalahan mereka sendiri, seketika itu mereka berputus asa." (Ar-Rum, 30: 36)

 
design by Free Blogger Designs